PASUKAN silat negara meneruskan baki pusingan kelayakan Kejuaraan Pencak Silat Ke-19 dengan menyaksikan dua lagi pesilat Putranya mara ke suku akhir.

Mohammad Amiruddin Adzmi menyuntik semangat kem negara yang memburu tujuh pingat emas dalam kejuaraan kali ini, apabila mempamerkan kelincahan dan menggunakan pengalamannya ketika menghadapi cabaran Tokurov Daniar dari Kyrgzystan untuk menang 76-45 dalam Kelas H (80-85kg).

Pesilat dari Sabah itu merupakan pemenang pingat gangsa Kejuaraan Pencak Silat Asia Tenggara di Singapura pada Februari lalu, namun bersaing dalam Kelas C (55-60kg).

Amiruddin Adzmi terbaring selepas diserang oleh Tokurov dan mengalami sedikit kecederaan ketika pertarungan menghampiri penghujung.

Dalam pada itu, Aizad Akbar menerima tentangan sengit daripada wakil Kazakhstan Khassen Maxat sebelum menang 44-32 dalam kelas A (45-50kg).

Bagaimanapun, kejayaan Aizad gagal dijejaki Mohamad Aqasha Fitri Mohd. Arif Faizal yang tumpas 23-49 kepada jaguh Vietnam Le Van Toan dalam Kelas Terbuka 1 (95-110kg).

Kejuaraan tersebut yang tertunda sebanyak dua kali akibat pandemik Covid 19 itu disertai hampir 40 negara dengan penyertaan kira-kira 1,000 peserta.