KELAB terkaya Singapura, Lion City Sailors (LCS) kini miliki pusat latihan bola sepak sendiri serba canggih yang lengkap dengan pelbagai kemudahan sukan termasuk sebuah akademi.
Dengan kos lebih daripada S$10 juta, ini adalah kemudahan latihan bola sepak bersepadu yang pertama seumpamanya di Singapura.
LCS sebelum ini dikenali sebagai Home United pernah bercita-cita menjadi kelab bola sepak yang digeruni di Asia dan bakal menyaingi kehebatan pasukan Johor Darul Ta’zim yang berjaya di Liga Super Malaysia.
Petang semalam, pusat latihan bola sepak The Sailors dibuka secara rasmi oleh pengerusi kelab, Forrest Li dan tetamu kehormat, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Edwin Tong. Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Lim Kia Tong turut hadir.
The Sailors, satu-satunya kelab bola sepak Singapura yang diswastakan, telah mengumumkan rancangan mereka di tapak keluasan 28,000 meter persegi di sepanjang Mattar Road pada April tahun lalu.
Ia mempunyai bilik fisioterapi, gimnasium, bilik analisis serta kemudahan belajar untuk pelatih akademi di samping lima padang bola sepak – dua padang 11 sebelah dan tiga padang tujuh sebelah.
Berinspirasikan beberapa kelab terkemuka dunia, seperti Borussia Dortmund dan Atletico Madrid, pusat latihan itu akan berfungsi sebagai gelanggang baharu pasukan utama LCS yang bermain di Liga Perdana Singapura, pasukan bawah 21 tahun, pelatih akademi dan pasukan wanita.
Siri kejayaan itu juga cerminan satu petanda perubahan untuk bola sepak Singapura bagi membolehkan pasukan negara seberang tambak berkenaan layak ke Piala Dunia 2034.