KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee tetap melakukan persiapan seperti kebiasaan dalam mana-mana perlawanan yang bakal dihadapi termasuklah untuk aksi pusingan kedua Piala FA 2022.

Undian yang berlangsung secara atas talian pada Selasa menemukan Sabah FC bakal menanti kunjungan pasukan dari Liga Premier, Kelantan United FC (KUFC) di Stadium Likas, Mei depan

“Tidak ada perbezaan apabila kita bermain tidak kira pasukan mana pun seperti M3, Liga Premier mahupun Liga Super. Kita teruskan persiapan seperti biasa dan tiada sebarang perancangan untuk turunkan mana-mana pemain terbaik dalam kesebelasan utama bagi memastikan kita layak ke peringkat seterusnya,” ujarnya ketika dihubungi Flash Sukan pada Khamis.

Menyentuh perlawanan terdekat berdepan pasukan tangga kedua liga, Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Ahad malam, Kim Swee mahu para pemain menyajikan aksi terbaik atas padang.

“Dengan KDA FC kita harus memanfaatkan bermain tempat sendiri dan ia penting untuk mendapatkan mata.

“Jika kita berjaya tewaskan Kedah sudah tentu carta liga berubah lagi dan paling penting kita perlu fokus dengan apa yang dilakukan dari segi konsistensi sehinggalah hujung musim nanti,” katanya.

Selepas pertembungan dengan KDA FC, kempen liga berhenti rehat dan sebaik sahaja bermula bulan Mei, Sabah FC terlibat jadual ketat selama tujuh hari.

Bermula terbang ke Petaling Jaya untuk aksi bertemu Selangor FC (7 Mei), diikuti menanti kehadiran Terengganu FC (11 Mei) sebelum bercakaran dengan KUFC saingan pusingan kedua Piala FA dua hari berselang.