SKUAD Bawah 16 Tahun Kebangsaan sudah bersedia untuk menghadapi Kejohanan Piala AFF B-16 Tahun yang berlangsung di Jogjakarta dengan menjadikan kejayaan skuad B-19 sebagai pendorong kejayaan.

Pasukan remaja negara itu berlepas ke Jogjakarta melalui Jakarta pagi ini dengan pesawat rakan strategik, Malaysia Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pengendali pasukan, Osmera Omaro yakin dengan kemampuan skuadnya dan beberapa siri perlawanan persahabatan dan perlawanan suku akhir Piala Belia banyak membantu dia membuat keputusan untuk menentukan kesebelasan terbaik.

Osmera Omaro

“Saya gembira dengan persiapan yang sudah dilakukan dan para pemain berada dalam keadaan yang cukup bersedia untuk menghadapi kejohanan ini dan kejayaan pasukan B-19 tahun menjadi pemangkin semangat buat kami untuk turut muncul sebagai juara.

“Beberapa perlawanan persahabatan dan perlawanan suku akhir Piala Belia tempoh hari banyak membantu saya untuk mengenalpasti siapakah yang bakal dipilih untuk menjadi kesebelasan utama nanti,” ujar beliau kepada pihak media.

Keyakinan jurulatih ini turut disokong oleh pemain negara, Afiq Danish Zulkifli yang gembira dengan persiapan pasukan dan dia berbangga kerana kali pertama mewakili negara.

Afiq Danish Zulkifli

Dia juga berpendapat bahawa kesemua pemain sudah memahami corak permainan masing-masing dan dapat membentuk keserasian yang mantap dalam pasukan.

“Syukur persiapan berjalan lancar dan saya gembira dengan keadaan ini. Saya juga berbangga kerana ini adalah kali pertama saya mewakili negara dan kami akan lakukan yang terbaik.

“Keserasian kami cukup baik kerana kami sudah bermain bersama-sama sejak 2019 di Akademi Mokhtar Dahari dan saya rasakan ianya tidak akan menjadi masalah di atas padang nanti,” jelas pemain tengah itu.

Skuad B-16 Tahun Kebangsaan diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Kemboja, Myanmar dan Australia dengan juara setiap kumpulan dan satu tempat kedua terbaik layak ke peringkat separuh akhir.

Kesemua perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan akan berlangsung di Stadium Maguwoharjo, Sleman kira-kira 10 kilometer dari pusat kota Jogjakarta.