KAPTEN Selangor FC, Brendan Gan kekal positif menjelang aksi Liga Super bertemu Negeri Sembilan FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Ahad.

Menurutnya, kekalahan memilukan di tangan Sri Pahang FC tempoh hari segera dilupakan rakan sepasukan dan bertekad mendapatkan semula mata bagi mengembalikan keyakinan dalam skuad.

“Kita dah move on. Lupakan apa yang berlaku. Apa yang perlu dibuat adalah menajamkan aspek di bahagian serangan.

“Kita hanya tak dapat jaringkan gol. Jadi penyudah kami harus lagi diperkemaskan bagi meraih tiga mata.

“Kita tahu Negeri Sembilan di kelompok lebih baik jadi kami kena lakukan lebih lagi dalam aksi itu nanti,” ujarnya kepada FLASH SUKAN ketika ditemui baru-baru ini.

Pemain berdarah kacukan berusia 34 tahun itu juga enggan memikirkan lagi pertembungan separuh akhir Piala FA dengan Terengganu FC yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini.

“Kita tak fikirkan lagi perlawanan itu. Kita hadapi satu persatu permainan yang terdekat.

“Apa yang mustahak, fokus dulu aksi di tempat sendiri dan barulah kita fikirkan langkah seterusnya,” katanya yang miliki ketinggian 1.78 sentimeter.

Merah Kuning pimpinan Michael Feichtenbeiner berada di kedudukan keenam liga dan memperoleh 16 mata selepas mengharungi 12 perlawanan.