LEGENDA bola sepak Singapura, Fandi Ahmad menganggap nilai komersial Liga Malaysia akan bertambah baik sekali gus akan memberi kelebihan kepada pasukan dengan penstrukturan baharu liga bermula musim depan.

Jelasnya, Malaysian Football League (MFL) mengambil langkah berani dan tepat dengan melakukan perubahan apabila Liga Super akan membabitkan 18 pasukan selain Liga Simpanan (Reserve League) juga diwujudkan pada musim 2023.

Fandi yang pernah menjulang trofi Piala Malaysia bersama Kuala Lumpur dan Pahang menyifatkan dengan pertambahan perlawanan selepas ini akan memberi keuntungan kepada pasukan daripada pelbagai aspek.

Pastinya ia tidak akan mudah pada awal permulaan, tetapi Fandi percaya sudah tiba masa perubahan dilakukan untuk memastikan nilai sesebuah liga itu akan terus meningkat.

“Sudah pasti ini yang perlu dibuat dan sudah banyak negara juga telah melakukan perkara sama, dan ini adalah satu nilai komersial yang bagus untuk bola sepak Malaysia.

“Dengan ada banyak pasukan, perlawanan juga akan bertambah, dari situ akan lebih ramai yang akan mengikuti baik dari kaca televisyen, siaran langsung dan mungkin dengan ini daripada segi kewangan akan memberi keuntungan kepada pasukan.

Fandi menyifatkan dengan pertambahan perlawanan selepas ini akan memberi keuntungan kepada pasukan daripada pelbagai aspek.

“Jadi, daripada aspek nilai komersial, saya rasa ia memang baik untuk pasukan-pasukan , juga kepada pemain-pemain”, jelasnya.

Selain itu, Fandi juga berharap pasukan-pasukan yang akan bertanding di pentas Liga Super musim depan akan terus menampilkan kualiti yang cemerlang untuk memberi saingan sengit.

Bahkan, mutu permainan juga perlu dijaga dalam setiap perlawanan sekiranya ingin terus menarik minat penyokong yang pastinya turut teruja dengan perubahan yang dilakukan pada musim depan.

“Saya hanya berharap agar pasukan-pasukan yang bertanding akan terus menghasilkan kualiti yang tinggi dan berada di tahap yang mereka ada sekarang.

“Mereka perlu meningkatkan mutu permainan, kalau tidak nanti akan menjadi kurang baik untuk liga ini.

“Jadi saya rasa dengan pasukan yang lebih banyak ini memang bagus terutamanya untuk pemain muda juga, cuma kualitinya harus sentiasa dijaga dan dibimbing dengan baik supaya kualiti Liga Super tidak jatuh”, tambahnya.

Fandi Ahmad merupakan satu nama yang tidak asing lagi di kalangan peminat baik di Singapura dan Malaysia dan kini menyandang jawatan selaku Penasihat Teknikal di Sri Pahang FC.