MESKIPUN tiada lagi gelaran untuk tahun ini, namun konsistensi jelas dipamerkan gandingan beregu wanita utama kebangsaan, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan.

Setakat ini, mereka optimis mencabar pingat emas dalam Kejohanan Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Lebih mengujakan, mereka telah mara ke  peringkat separuh akhir dalam tiga kejohanan sebelum ini.

Ia lebih bermakna apabila gandingan tersebut mampu menewaskan beregu wanita lain yang lebih baik dan tinggi dari segi ranking.

Aksi Pearly Tan-M. Thinaah jelas berada pada kelas tersendiri apabila menundukkan beregu hebat Indonesia, Apriani Rahayu- Siti Fadia Silva Ramadhanti dalam Malaysia Masters sebelum ini.

“Kita tahu mereka agresif, jadi kita mahu lebih agresif dan tenang pada masa yang sama. Kadangkala kami agresif tapi gopoh dalam permainan,” jelas Thinaah.

“Kita beraksi dengan baik kerana kami kekal fokus dan agresif. Kadangkala, kita terlalu cepat ingin mematikan bulu tangkis lawan. Ianya memakan diri sendiri. Tapi, masih ada ruang untuk perbaiki,” kongsi Pearly Tan.

Malah, beregu nombor 11 dunia itu berupaya mengejutkan beregu 10 terbaik dunia seperti Yuki Fukushima-Sayaka Hirota, Jongkolphan Kititharakul-Prajongjai, Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting dan Baek Ha Na-Lee Yu Lim.

Gandingan ini mula memikat hati peminat badminton tanah air apabila mula mempamerkan aksi konsisten dengan setidak-tidaknya mara ke suku akhir pertandingan yang disertainya.

Manakala, tahun ini , pasangan tersebut dilihat lebih stabil dan lebih matang dalam pengalamannya bermain di pentas terbesar dunia.

Berbekalkan prestasi konsisten, gandingan tersebut dilihat mampu mencabar untuk meraih pingat dalam Kejohanan Badminton Dunia 2022 bermula 22 Ogos sehingga 28 Ogos di Tokyo, Jepun.