BINTANG Portugal, Cristiano Ronaldo yakin akan diturunkan jurulatihnya, Erik Ten Haag dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang kelab Sepanyol, Rayo Vallecano di Old Trafford.

Menerusi laman instagram miliknya, pemain berusia 37 tahun itu memberi bayangan  bahawa dia akan beraksi pada Ahad ini menentang Rayo Vallecano.

Sebelum ini, pemain tersebut tidak dibariskan dalam kesebelasan utama pasukan dalam aksi menentang Atletico Madrid.

Spekulasi bertiup kencang dikatakan penyerang sensasi Portugal itu turut dikaitkan bakal berhijrah kepada beberapa kelab di La Liga, namun ianya dinafikan Cristiano Ronaldo yang membidas khabar angin tersebut.

“Memang mustahil kalau tak bercakap tentang saya dalam sehari. Kalau tak, macam mana akhbar nak buat duit. Kamu tahu kan, kalau kamu tak menipu, kamu tak akan dapat menarik perhatian orang, ” menerusi hantaran di laman Twitternya.

Sementara itu, Ten Haag turut menafikan perpindahan bintang tersebut sambil menyifatkan dia adalah seorang pemain yang berkualiti dan diperlukan dalam pasukan Manchester United.

Ronaldo mempunyai baki setahun dalam kontrak United dan Ten Hag berkata awal bulan ini bahawa dia tidak sabar untuk bekerjasama dengan kapten Portugal itu yang merupakan penjaring terbanyak mereka musim lalu dengan 24 gol dalam semua pertandingan.