BADAN bebas “First Instance Body” (FIB) membuat keputusan untuk meluluskan permohonan Perak FC untuk lanjutan masa bagi memberi ruang pihak pengurusan kelab Liga Premier itu menyelesaikan rundingan pertukaran pemilikan.
Menurut Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir (gambar), selepas meneliti dan memperhalusi permohonan Perak FC pada 18 April 2022, pihak Jawatankusa FIB memberikan ruang untuk pihak pengurusan kelab Liga Premier itu menyelesaikan segala proses rundingan bersama pemilik baharu sehingga 29 April 2022.
“Pihak Jawatankuasa FIB membuat keputusan untuk memberikan ruang masa kepada Perak FC kerana kami berharap dengan penyelesaian proses rundingan berkenaan akan dapat memberi satu sinar baharu kepada kebajikan pemain dan pegawai Perak FC.
“Bagaimanapun sekiranya Perak FC masih gagal menyelesaikan urusan berkenaan pada tarikh yang telah ditetapkan maka pihak Jawatankuasa FIB akan mengambil tindakan lanjut serta membawa perkara ini ke pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah MFL,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.