SETELAH ketiadaan The Pocketrocketman, sandaran kontinjen berbasikal trek kebangsaan tertumpu kepada Mohd Shah Firdaus Sahrom dalam saingan keirin akhir di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Pelumba trek muda itu mencipta sejarah merangkul gelaran pertamanya dalam temasya dwitahunan tersebut apabila menamatkan saingan akhir keirin di tempat ketiga.

Lebih manis lagi, pingat gangsa tersebut merupakan yang pertama diperoleh dalam acara berbasikal trek bagi kontinjen kebangsaan dalam saingan yang berlangsung di Velodrom Lee Valley.

Dalam aksi peringkat akhir, Mohd Shah Firdaus Sahrom berjaya memecut di antara enam pelumba lain untuk memastikan berjaya menaiki podium dengan pingat gangsa.

Bagaimanapun, aksi bertenaga pelumba berusia 26 tahun itu gagal diteruskan adiknya, Ridwan Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis apabila masing-masing terkandas di peringkat repechage.

Ketiga-tiga pelumba tersebut akan kembali bagi meneruskan aksi dalam acara sprint lelaki pusingan kelayakan Sukan Komanwel Birmingham 2022.