PERLAWANAN Liga Super minggu ke-14 bersambung malam ini dengan tiga perlawanan menarik bakal disajikan yang pastinya akan menyaksikan perubahan dalam carta liga.

Sabah kembali ke Stadium Likas untuk bertemu Melaka United dan pastinya anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee mahu meneruskan momentum kemenangan untuk terus menghambat Johor Darul Ta’zim di puncak liga.

Biarpun beraksi tanpa ramai tonggak akibat kecederaan, Sabah dilihat masih mempunyai kekuatan di semua bahagian dan pastinya mahu menjadikan Melaka United mangsa terbaharu dengan Stadium Likas sekali lagi dijangka dipenuhi penyokong.

Selepas bermain lapan perlawanan berturut-turut di tempat sendiri, Melaka United kita behadapan cabaran besar di Kota Kinabalu dengan skuad kendalian Asri Ninggal pastinya mahu meneruskan rentak tidak tewas dalam empat perlawanan Liga Super.

Pasukan tempat ketiga liga, Negeri Sembilan FC yang masih segar dengan kejayaan membenam Terengganu FC turun ke Kelana Jaya untuk mencari kemenangan bagi mengekori rapat kedudukan Sabah FC di tangga kedua.

Ianya bukanlah tugas yang mudah untuk menentang Selangor FC tetapi pengendali, K.Devan sudah pasti mempunyai perancangan tersendiri untuk memerangkap Gergasi Merah demi kemenangan kedua berturut-turut.

Skrip berbeza pula buat King of Malaya apabila persembahan cemerlang dalam Piala FA gagal diulangi dalam pertandingan liga apabila tewas kepada Sri Pahang dan pastinya aksi menentang Negeri Sembilan ini akan digunakan oleh Selangor untuk kembali ke meraih kemenangan.

Dengan hanya satu kemenangan dari enam perlawanan terakhir liga, Selangor sudah pasti magu memanfaatkan aksi di hadapan penyokong sendiri untuk memburu tiga mata penuh sekaligus memperbaiki kedudukan di dalam liga.

Pertemuan dua pasukan tangga terbawah liga di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pastinya menarik kerana kedua-dua pasukan pastinya mahukan tiga mata untuk memperbaiki kedudukan dalam liga.

Penang FC terdesak untuk mendapatkan mata penuh kerana ini adalah peluang terbaik bagi skuad Zainal Abidin Hassan untuk menyamakan mata dengan Sarawak United dan memberi peluang buat mereka keluar dari tangga terbawah.

Sarawak United pula mahu melupakan dua kekalahan sebelum ini kepada Kedah dan JDT untuk memberikan yang terbaik dan mahu membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dalam aksi di laman lawan.

Dibolosi 16 gol dalam empat perlawanan terakhir bukanlah rekod yang boleh dibanggakan oleh Sarawak United namun mereka ingin membuktikan segalanya pada perlawanan malam ini.

 

Jadual Liga Super 31 Julai 2022

Sabah FC lawan Melaka United, 7.30 malam, Stadium Likas

Penang FC lawan Sarawak United, 9.00 malam, Stadium Bandaraya

Selangor FC lawan Negeri Sembilan FC, 9.00 malam, Stadium MBPJ