AKSI di Stadium MBPJ malam ini pastinya hangat untuk diperkatakan apabila Selangor FC bakal melayan kunjungan Negeri Sembilan FC bagi perlawanan Liga Super malam ini yang semakin menuju penghujungnya pada musim ini.
Dari segi head to head, jelas Red Giants mendahului dengan empat kemenangan manakala Negeri Sembilan FC pula hanya meraih dua kemenangan dari 10 pertemuan sebelum ini.
Bagaimanapun, kelab itu harus berpijak pada bumi yang nyata apabila skuad kendalian DNA Jerman, Michael Feichtenbeiner dilihat tidak mempamerkan prestasi konsisten dalam perlawanan yang dihadapi.
Skuad Hoben Jang Hoben pula jelas memiliki pemain muda yang semakin meningkat naik, dan secara keseluruhan mereka adalah pilihan untuk memenangi aksi malam ini.
Antara key players yang dilihat bakal menggegar di jentera serangan pastinya Herlison Caion, Hyuri Henrique serta mengharapkan sentuhan magis daripada Brendan Gan.
Manakala, watak utama bagi skuad Hoben masih tertumpu kepada penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi bin Mohamed, Ahmad Khuzaimi bin Piee dan penyerang Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak yang sebelum ini cemerlang dalam posisi masing-masing.
Apa-apa pun, masing-masing pastinya mengimpikan kemenangan dalam perlawanan malam ini bagi memastikan dapat memperbaiki kedudukan dalam liga.
Meskipun bermain di laman sendiri, namun kelebihan dilihat memihak kepada Negeri Sembilan FC kerana jurulatihnya, K. Devan pernah membimbing skuad Selangor FC dan sudah tentu dia sudah masak dengan rencah permainan Gergasi Merah.
Selangor FC berada pada kedudukan keenam liga manakala Negeri Sembilan FC menghuni tangga ketiga liga.