PESILAT wanita negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir menghampiri gelaran juara dunia kelimanya apabila mara ke perlawanan akhir Tanding kelas F (70-75kg) dalam Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 yang akan turut disertai lapan pesilat lain termasuk Mohd. Al Juferi Jamari.

Ini bermakna matlamat Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) untuk memenangi tujuh pingat emas di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini semakin menghampiri kenyataan setelah meraih tiga emas menerusi acara Seni yang berakhir pada Sabtu.

Pengalaman luas Siti Rahmah, yang merupakan juara dunia 2012, 2015, 2016 dan 2018, digunakan sepenuhnya ketika menjinakkan Nur Shaqira Sheik Alau’ddin dalam pertarungan merebut tempat ke perlawanan akhir Puteri untuk berat 70-75kg.

Melakukan serangan hanya pada kesempatan terbaik juara Sukan SEA 2015 dan 2017 itu mendahului 15-0 pada pusingan pertama dan hanya membenarkan pencabarnya dari Singapura memperoleh satu mata dalam pusingan kedua untuk berada di depan dengan 23-1.

Al-Jufferi (kiri) mara ke final.

Pusingan ketiga kelihatan lebih sengit namun pesilat negara berusia 35 tahun dari Terengganu itu tidak menghadapi masalah untuk menutup sayembara dengan kedudukan 38-16.

Lawan Siti Rahmah dalam perlawanan akhir ialah Quang Thi Thu Nghia dari Vietnam yang menumpaskannya dalam Sukan SEA Hanoi pada Mei lalu.

“Saya dan rakan-rakan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi pingat emas buat negara. Kami mohon rakyat Malaysia mendoakan usaha kami.

“Saya kalah kepada pesilat Vietnam itu dalam Sukan SEA. Itu adalah pertemuan pertama kami,” katanya.

Robial bakal bertemu pesilat Singapura di pentas akhir.

Sementara itu Mohd Al Jufferi pula meneruskan misi memburu pingat emas keempatnya dalam Kejuaraan Dunia setelah menumpaskan peserta baharu Zetout Abdelmalek dari Algeria 48-17 dalam kelas F (70-75kg) Putra untuk ke perlawanan akhir, di mana dia akan menentang Iqbal Chandra Pratama.

Manakala Muhammad Robial Sobri terlalu unggul untuk disaingi Earl Hurlburt yang menyaksikan pendatang baharu dari Amerika Syarikat itu agak beremosi sepanjang pertarungan dalam kelas I (85-90kg) apabila asakannya sebaliknya membuka peluang kepada pesilat negara untuk menuai mata dan menang dengan 47-14. Muhammad Robial akan menentang Muhammad Nurshahfareeq Shahrudin dari Singapura.