ATLET angkat berat, Muhammad Erry Hidayat gagal menahan emosi apabila gagal meraih pingat emas temasya Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, awal pagi Isnin.

Menurut Erry, janji dibuat kepada ayahnya untuk memenangi emas tidak tercapai dan memohon maaf kepada keluarga, semua peminat dan jurulatih.

“Dari tiga tahun lepas saya dah berazam nak emas Komanwel. Tapi dua minggu sebelum ke sini saya kena hidap denggi dan sampai sekarang masih selsema.

“Saya tak dapat berikan terbaik. Minta maaf kat ayah sebab janji nak dapat emas tapi dapat perak,” kata anak kepada jaguh angkat berat negara, Hidayat Hamidon.

Erry menduduki tempat kedua di belakang pemenang pingat emas dari India, Sheuli Achinta dalam acara 73 kilogram (kg).

Dalam saingan final di National Exhibition Centre (NEC) Birmingham, pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2021 itu berjaya mengumpulkan angkatan sebanyak 303kg.

Bagi disiplin snatch dia merakamkan angkatan 138kg manakala 165kg bagi clean & jerk.