JAGUH silat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari mencapai sasarannya untuk bergelar juara buat kali keempat apabila memenangi pertarungan penutup Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di sini malam ini yang turut menyaksikan kontinjen negara memenangi empat emas pada hari terakhir acara Tanding.
Kejayaan pesilat dari Pahang itu sekali gus membantu Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) mencapai sasarannya untuk memenangi tujuh pingat emas keseluruhan dalam kejuaraan kali ini setelah memenangi tiga menerusi acara Seni kelmarin. Kem negara turut membawa pulang lima perak.
Beraksi dalam kelas F (70-75kg), Al-Jufferi beraksi tenang di hadapan kira-kira 1,200 penonton termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan tidak membenarkan lawannya untuk berada di hadapan sejak awal pertarungan.
Perlawanan itu menyaksikan Al Jufferi dan Iqbal Chandra Pratama mengambil langkah berhati-hati tetapi jurus Al-Jufferi lebih pantas dan tepat berbanding lawannya dari Indonesia untuk menang 35-21.
Sementara itu tiga lagi pingat emas kontinjen negara di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MTIC), Ayer Keroh hari ini diperoleh menerusi Muhammad Robial Sobri, Nor Izzatul Fazlia Mohamad Tahir dan Nor Farah Mazlan.
Kemenangan pertama Muhammad Robial dalam Kejuaraan Dunia diperoleh setelah pesilat dari Singapura Muhammad Nurshahfareeq Shahrudin dikenakan penalti lima mata dan kemudian dibatalkan penyertaan setelah dinilai semula oleh wasit kerana menumbuk dagu lawannya ketika mendahului 23-16. Pesilat dari Kedah itu tidak sedarkan diri di pentas dan akhirnya dibawa ke hospital.
Mohd Al-Jufferi meraikan gelaran dunia kali ke-4 bersama anaknya Furqan al haq pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 di Melaka malam ini. Tahniah! #flashsukan pic.twitter.com/KsVaDdiwRa
— Flash Sukan (@FlashSukan) July 31, 2022
Kejayaan itu diikuti oleh kemenangan sukar Nor Farah ke atas seorang lagi pencabar dari Singapura Nadhrah Sahrin dalam kelas A (45050kg) Puteri. Meraih perak dalam kejohanan 2018 di Singapura,Nor Farah memperoleh gelaran juara dunia pertamanya hasil kemenangan 25-23 hari ini.
Kontinjen negara, yang bersemangat hasil kejayaan sembilan jagoannya menempatkan diri dalam perlawanan akhir acara Tanding pada hari terakhir hari ini, memulakan aksi menuai emas menerusi pesilat Puteri dalam kelas Terbuka 2 (100kg ke atas) Nor Izzatul Fazlia yang diberikan kemenangan 20-0 ke atas Lo Thi Tuoi setelah pencabar dari Vietnam itu cedera dan tidak dapat meneruskan pertarungan.
Pingat perak Putera pula diperoleh menerusi pesilat kelas A (45-50kg) Aizad Akbar yang tumpas 17-49 kepada Khoirudin Mustakim dari Indonesia dan Mohammad Khairi Adib Azhar yang menarik diri di pertengahan perlawanan menentang Aniq ‘Asri Mohammad Yazid dari Singapura.
Sementara itu harapan Siti Rahmah Mohamed Nasir untuk melebarkan rekodnya sebagai juara dunia lima kali tidak kesampaian apabila tumpas 35-60 dalam kelas F (70-75kg) kepada Quang Thi Thu Nghia, kekalahan kedua berturut-turut kepada pesilat Vietnam itu selepas kali pertama bertemu dalam Sukan SEA Hanoi Mei lalu.
Siti Shazwana Ajak pula tewas tipis 20-25 kepada wakil Indonesia Atifa Fismawati dalam kelas D (60-65kg) untuk memberikan perak kelima buat negara dalam acara Tanding manakala Olivia Chong dijinakkan oleh Puntiyakon Pimpisan dari Thailand.