KETUA jurulatih skuad negara B-16, Osmera Omaro, menyifatkan moral dalam pasukan kini berada pada tahap terbaik dan mereka komited memburu tiga mata dalam aksi sulung Kejuaraan B-16 AFF 2022 berdepan Kemboja, pada Selasa.

Dalam saingan ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Australia, Myanmar dan Kemboja dan semua perlawanan berlangsung di Stadium Maguwoharjo Sleman, Yogyakarta, Indonesia.

“Moral pasukan cukup baik dan saya boleh nampak pemain begitu berkeyakinan tinggi.

“Dari segi tempat tinggal, padang latihan dan makan semua baik diberikan pihak penganjur.

“Kami kini tidak sabar memulakan saingan Kumpulan C,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN pada Isnin.

Seramai 25 pemain dipilih membarisi skuad Harimau Malaya B-16 termasuk membawa tiga penjaga gawang.

“Kami mengharapkan agar pemain-pemain yang dibawa agar bersedia 100 peratus dan berada pada tahap terbaik,” katanya akui rata-rata persefahaman dalam pasukan juga kini bertambah baik dan mereka bersedia memberi aksi ampuh berdepan Kemboja.

Tiga pasukan juara kumpulan serta satu pasukan terbaik di tempat kedua akan layak ke separuh akhir pada 10 Ogos manakala perlawanan penentuan tempat ketiga dan final dijadual berlangsung pada 12 Ogos 2022 di Stadium Maguwoharjo Sleman.