KELANTAN FC kini kukuh berada di puncak Liga Premier sebelum ini dilanda masalah stadium yang tidak membenarkan pasukan untuk menggunakan stadium tersebut meskipun bermain sebagai tuan rumah.

Ia susulan terdapat kerja pengubahsuaian yang dijalankan terhadap Stadium Sultan Muhammad IV bagi memastikan keadaan stadium selamat untuk digunakan dalam perlawanan seperti biasa.

Kesulitan tersebut mengakibatkan perlawanan terpaksa diadakan di Stadium Bolasepak Cheras, Kuala Lumpur pada waktu petang.

 

Bagaimanapun, tanggal 27 Mei 2022 menjadi titik tolak  apabila pertembungan Kelantan Derby antara Kelantan FC bertemu Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad IV telah dibenarkan untuk digunakan seperti sediakala.

Keadaan panas terik di Stadium Sultan Muhammad IV tersebut mengakibatkan berlaku rungutan dari penonton yang memohon untuk meminda waktu perlawanan yang berlangsung pada 4.45 petang kepada 5.15 petang, namun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengekalkan waktu perlawanan yang sama.

Biarpun begitu, aksi Liga Premier petang semalam yang menemukan Kelantan  FC menentang Kuching City FC tetap dibanjiri penyokong The Red Warriors apabila kelihatan Lautan Merah kembali menghiasi suasana di stadium tersebut.

Rekod kehadiran 8.694 adalah yang tertinggi sejak Kelantan bermain di gelanggang sendiri dan aksi kemuncak adalah bakal bertemu Perak FC pada 10 Ogos ini dan besar kemungkinan boleh full house !!

Jualan tiket untuk perlawanan seterusnya dijangka akan habis terjual apabila menyaksikan tuan rumah Kelantan FC bertemu pasukan tercorot liga, Skuad Projek FAM-MSN yang dijadualkan berlangsung pada Ahad petang di Stadium Sultan Muhammad IV.