HASRAT Terengganu FC (TFC) untuk kembali ke landasan kemenangan tidak kesampaian apabila seri tanpa jaringan dengan PJ City FC di laman sendiri, Isnin malam.
Tuan rumah mendominasi babak pertama dan mula menguji pintu gol PJ City pada minit ke-13 namun Kipre Tchetche mensia-siakan hantaran Azarul Nazarith Azhar dari sebelah kanan.
Rentak agresif terus dipamerkan TFC menyaksikan sepakan deras Tchetche pada minit ke-32 ditepis Kalamullah Al Hafiz sebelum tolakan Faisal Abdul Halim melambung tinggi seminit kemudian.
Kalamullah yang juga bekas penjaga gol negara terus cemerlang menyelamatkan usaha Petrus Shitembi (m-32) disusuli rembatan leret Nik Sharif Haseefy Mohd. Lazim pada minit ke-37.
Kalamullah kemudian terus cemerlang menafikan percubaan Petrus Shitembi (m-32) dan Nik Sharif Haseefy Mohd. Lazim (m-37) untuk membawa kedudukan 0-0 ke bilik persalinan.
TFC menggandakan serangan selepas rehat namun deretan peluang terhidang daripada Shitembi (m-56) dan percubaan lencong Tchetche (m-62) dinafikan Kalamullah.
PJ City hampir memerangkap Sang Penyu menerusi serangan balas Darren Lok pada minit ke-63 yang menggelecek Rahadiazli Rahalim tetapi tolakannya hanya menggegar jaring tepi.
Sang Penyu terpaksa berpuas hati dengan satu mata setelah deretan peluang keemasan gagal disudahkan untuk kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat permainan.