PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT) memuji benteng pertahanan yang beraksi begitu cemerlang ketika JDT mengikat juara Liga Jepun, Kawasaki Frontale degan keputusan seri tanpa jarinagan.
“Benteng berempat kami sangat hebat dan juga efisien dan begitu jelas dalam kawasan permainan, membaca perlawanan dan mengeluarkan bola dari kawasan bahaya. Tugas yang hebat dengan Shane dan Shahrul melakukan tugas yang baik.
“Mereka tahu untuk menggerakkan bola dan kami cuba untuk pergi sejauh mungkin dengan tahap kecergasan kami. Kami menukar taktikal untuk berada lebih dekat dengan lawan dan berjaya mendapat satu mata berharga dari perlawanan ini,” jelasnya pada sidang media selepas perlawanan.
Jurulatih kelahiran Mexico itu juga menolak pendapat yang mengatakan JDT bermain untuk seri dan mengelak kekalahan berbanding turun untuk memenangi perlawanan.
“Ianya tidak benar. Saya sentiasa mahukan kemenangan. Kami tidak boleh lari dari apa yang kita lakukan kerana kita akan lebih mudah untuk kalah. DNA permainan adalah sama cuma berbeza mengikut trajektori. Kami bertahan setakat yang mampu dan melakukan serangan balas. Kami mahukan tiga mata penuh.
“Para pemain sendiri yang menyatakan kepada saya bahawa mereka mahu bermain dan masih boleh berlari. Mereka gembira jika dapat diturunkan oleh itu saya tidak mempunyai masalah untuk memilih pemain,” tambahnya.
JDT dan Kawasaki Frontale akan bertemu sekali lagi untuk perlawanan keempat Kumpulan I pada Ahad dengan kedua-dua pasukan pastinya mahukan kemenangan bagi menjamin tempat ke peringkat seterusnya.