PRESIDEN Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan memberitahu pihaknya akan mencari jalan terbaik berhubung isu penamatan kontrak pemain selepas berakhirnya Kejohanan Piala Raja Thai baru-baru ini.

Beliau akui memahami tekanan kepada pemain-pemain yang dibelenggu dengan masalah terutamanya penamatan kontrak.

“PSM akan berusaha mencari jalan penyelesaian dan perbincangan bukan sahaja dengan MSN, dengan mana-mana pihak demi kebaikan dan kemajuan sepaktakraw di negara kita,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Sumali berkata, seperti yang dimaklumkan pasukan negara ke Kejohanan Piala Raja Thai pada kali ini diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

“Walau bagaimanapun, saya tidak berhasrat untuk menjelaskan lebih mendalam berkenaan perkara ini.

“Pada hemat saya, ini bukan masanya menuduh atau menuding jari kepada pihak-pihak tertentu mahupun pemain-pemain.

“Itu bukan jalan penyelesaiannya dan akan memburukkan lagi keadaan.

“Saya mengambil sikap positif prestasi pasukan kebangsaan sebagai satu cabaran besar kepada saya dan PSM untuk melakukan perubahan baru dan drastik sekiranya diberikan peluang dan ruang.

“Hal ini adalah kerana sejak di Sukan SEA ke-31 Hanoi lagi kepimpinan baharu PSM tidak diberikan peluang dan ruang terutamanya dari segi menguruskan pemain negara,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pasukan beregu negara yang menjadi juara kejohanan Piala Raja Thai di Bangkok.

“Kepada pasukan regu negara yang kurang bernasib baik, usaha, semangat juang dan pengorbanan mereka adalah amat dihargai,” katanya.