PELARI lelaki Kenya, Ferdinand Omanyala dan pelari wanita Jamaica, Elaine Thompson-Herah dinobatkan sebagai raja dan ratu pecut Sukan Komanwel 2022 selepas memenangi acara 100m masing-masing di Stadium Alexander, Birmingham.

Omanyala berjaya memenangi pingat emas selepas mencatat masa 10.02 saat (s) dalam final acara 100m lelaki mengatasi pelari Afrika Selatan, Akina Simbine dengan masa 10.13s manakala pelari Sri Lanka, Yupun Abeykoon meraih gangsa dengan masa 10.14s.

Pelari berusia 26 tahun yang juga pemegang rekod Afrika ini mempamerkan larian meyakinkan bermula dari peringkat separuh akhir dan akhirnya menjadi pelari Kenya pertama memenangi emas dalam acara riben biru ini selepas 16 tahun.

Sementara itu dalam acara 100m wanita, Elaine Thompson-Herah menepati ramalan awal apabila muncul pemenang dengan masa 10.95s mengada pelumba St.Lucia, Julien Alfred dengan masa 11.01s gangsa menjadi milik pelumba England, Daryll Neita dengan 11.07s.

Elaine yang juga pemenang lima pingat emas olimpik akhirnya berjaya memperolehi pingat emas individu buat dirinya di Sukan Komanwel selepas berjaya memenangi pingat emas dalam acara 4x100m ketika edisi 2014 di Glasgow, Scotland.

Omanyala akan beraksi dalam acara 4x100m berpasukan yang dijadualkan pada Ahad manakala Thompson-Herah pula akan berlari untuk acara 200m individu pada Sabtu dan 4x100m berpasukan pada Ahad.

Dalam satu lagi acara trek, sejarah tercipta buat pelari jarak jauh Scotland, Eilish McColgan yang berjaya memenangi pingat emas acara 10,000m menyamai pencapaian ibunya, Elizabeth McColgan yang turut muncul pemenang ketika Sukan Komanwel 1986 dan 1990.

Tambah manis, Eilish turut berjaya memecahkan rekod kejohanan dengan catatan masa 30 minit 48.60 saat mengatasi dua pelumba Kenya, Irene Cheptai dan Sheila Kiprotich.