JAGUH lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa gagal mempamerkan aksi meyakinkan apabila sekadar menduduki tempat terakhir dalam acara akhir lompat tinggi Sukan Komanwel 2022 di Stadium Alexander, Birmingham.
Nauraj yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan lompatan 2.30 meter hanya berjaya melepasi halangan 2.05 meter sebelum terkandas di ketinggian 2.10 meter untuk menduduki tempat ke-13 dari 13 atlet yang mengambil bahagian.
Hamish Kerr dari New Zealand berjaya memenangi pingat emas dengan lompatan 2.25 meter dengan atlet Australia, Brandon Starc kedua dan atlet India, Tejaswin Shankar melengkapkan kedudukan podium.
Keputusan ini pastinya menambahkan lagi kekecewaan atlet kelahiran Johor itu yang sebelum ini terpaksa berpuas hati dengan pingat perak di Sukan Sea Vietnam dan juga kegagalan lompatan dan tempat terakhir di Kejohanan Dunia Oregon baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, atlet negara yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Shereen Samson Vallabouy gagal layak ke peringkat separuh akhir acara 400m wanita apabila tersingkir di peringkat saringan.
Shereen yang berlari dalam saringan ketiga dari empat saringan itu nencatat masa 53.92 saat untuk mengakhiri larian di tangga keenam dari lapan peserta yang mengambil bahagian.
Catatan itu jauh perlahan jika dibandingkan dengan pemenang saringan ketiga, Sada Williams dari Barbados yang menamatkan larian dengan masa 51.66 saat untuk layak ke separuh akhir yang dijadualkan pada esok.
Tumpuan kontinjen negara pada sukan olahraga kini hanya tertumpu kepada pelari para negara, Afiq Ali Hanafiah yang berjaya mara ke final acara 100m T11-12 esok selepas menamatkan saringan pertama di tempat ketiga dengan catatan masa 11.29 saat.