EKSKLUSIF oleh: MOHD FARIQ

MELAKA United Soccer Association (MUSA) akan mendapat teraju baharu tidak lama lagi.

Datuk Nur Azmi Ahmad dijangka akan dilantik sebagai Presiden MUSA bagi menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang meletak jawatan semalam (Rabu).

Pelantikan Nur Azmi hanya satu formaliti dalam mesyuarat jawatankuasa eksekutif MUSA yang dijangka diadakan minggu depan.

Mengesahkan pelantikan beliau, Nur Azmi menegaskan beliau akan menumpukan kepada hal-hal tadbir urus dalam MUSA.

Beliau menghulurkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sulaiman yang mahu memberi sepenuh tumpuan dalam mentadbir Kerajaan Negeri Melaka. Sulaiman meletak jawatan semalam dan menyerahkan baton kepada Nur Azmi.

“Seluruh Melaka mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas kepimpinan Datuk Seri Sulaiman yang menstabilkan keadaan MUSA,” kata Nur Azmi kepada FLASH SUKAN.

Nur Azmi, 55, yang baru mengetuai kontinjen negara ke Sukan SEA Hanoi Mei lalu, dipilih selaku Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) September lalu.

Pernah menjadi Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) ketika itu diterajui oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah, Nur Azmi juga memegang jawatan Setiausaha Agung Persekutuan Karate-do Malaysia (Makaf) sejak 2018.

“Saya akan meneruskan usaha Dattuk Seri Sulaiman untuk menerapkan kaedah tadbir urus mengikut amalan-amalan terbaik organisasi. Ini bukan sahaja penting dalam mengurus kewangan tetapi juga modal insan.

“Bola sepak berbeza dengan hoki dan karate mahupun MOM. Saya sedar bola sepak menuntut komitmen dengan bebanan kewangan yang tinggi.

“Apapun saya anggap pelantikan ini sebagai satu amanah yang harus saya laksanakan sebaiknya. Saya berterima kasih kepada Datuk Seri Ketua Menteri dan semua ahli gabungan MUSA yang menaruh kepercayaan kepada saya.

“Saya harap dapat kerjasama daripada semua pemegang taruh,” kata beliau.