KELIBAT penyerang Selangor, Herlison Caion, bakal diberi perhatian pertahanan tengah Terengganu FC (TFC), Pape Diakite, menjelang aksi separuh akhir Piala FA, Sabtu ini.
Diakite berkata, status Caion sebagai penjaring kedua terbanyak Liga Super dengan 11 gol membuktikan dia mampu memberi masalah kepada TFC jika tidak dikawal rapi.
Menurut, penyerang kelahiran Brazil itu tidak boleh dibiarkan bergerak bebas terutama di kawasan berbahaya TFC atau berdepan risiko dihukum dengan tindakan penyudah berbisa.
“Selain Caion, Selangor juga ada seorang lagi penyerang yang baik iaitu Hyuri Henrique dan kami perlu ambil serius kelibat kedua-dua pemain ini untuk aksi Sabtu nanti.
“Mereka boleh membunuh pasukan lawan jika diberi terlalu banyak ruang tetapi saya dan pasangan di bahagian pertahanan, Shahrul Nizam Roshasni sudah bersedia merantai pergerakan mereka.
“TFC akan memberikan aksi terbaik di hadapan penyokong sendiri untuk merealisasikan hasrat melangkah ke final seterusnya menjulang trofi Piala FA yang kali terakhir dimenangi pada 2011,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.