KELAB paling berjaya di Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah memenangi kesemua piala domestik yang dipertandingkan sejak ditubuhkan pada 2013 namun kelab selatan ini hanya mampu bergelar juara Piala FA sebanyak sekali dalam dua percubaan di final.
JDT muncul juara Piala FA selepas menewaskan PKNS FC pada aksi final 2016 di Stadium Shah Alam. Kini selepas enam tahun, mereka mempunyai peluang kembali ke final selepas layak ke peringkat separuh akhir.
Apa yang menarik sejak kali terakhir JDT bergelar juara Piala FA, kelab PKNS FC telah dibubarkan dan Stadium Shah Alam juga sudah diputuskan nasibnya untuk dirobohkan dan dibina semula.
Menjelang aksi separuh akhir malam ini menentang Penang FC, di atas kertas JDT dilihat tidak mempunyai masalah membenam Harimau Kumbang lebih-lebih lagi apabila beraksi di Stadium Sultan Ibrahim.
Namun Harimau Selatan tetap mengamalkan sikap berhati-hati kerana percaya pertandingan piala seperti ini mempunyai magis dan penuh kejutan yang mungkin berlaku dan boleh memerangkap sekiranya leka.
JDT juga dijangka turun dengan barisan terbaik dihadapan para penyokong setia mereka. Dikhabarkan jualan tiket sudah pun habis dijual dan separuh akhir yang pertama kali diadakan di Stadium Sultan Ibrahim ini pastinya hangat.
Pengendali baharu, Hector Bidoglio juga pastinya mahu melayakkan diri beliau ke final pertama secara segera dan berkungkinan menjulang piala pertama peribadi bersama JDT seawal bulan pertama mengendali pasukan.
Meskipun bakal menghadapi jadual yang padat termasuk perlawanan peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC, JDT mempunyai skuad yang besar dan kesemua pemain dilihat bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa.
Diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk layak ke final tidak akan meletakkan JDT di dalam tekanan kerana seperti apa yang diperkatakan oleh Bidoglio dalam sidang media sebelum ini, para pemain JDT sudah biasa dengan perlawanan besar seperti ini.
“Pasukan ini sudah biasa bermain dalam permainan besar seperti ini. Ianya pasti sukar tetapi saya mahu kita layak ke final,” katanya tempoh hari.
Tickets for the FA Cup semi-final match between Johor Darul Ta'zim FC (JDT) and Penang FC have sold out.
Thank you to all JDT fans for your undivided support for the club. See you all at Sultan Ibrahim Stadium. Luaskan Kuasamu Johor. pic.twitter.com/kzJkiBv0dn
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) August 5, 2022
Sebagai rekod ini adalah kali ketiga JDT layak ke separuh akhir Piala FA selepas melakukannya pada 2013, 2016 dengan kedua-duanya layak ke final dan kini bakal melengkapkan hatrik jika memenangi perlawanan malam ini.