REKOD cemerlang di tempat sendiri musim ini tidak menjadikan Terengganu FC (TFC) sebagai pasukan pilihan menjelang aksi separuh akhir Piala FA bertemu Selangor, malam esok.

Jurulatihnya, Mohd. Nafuzi Zain, berkata kepada FLASH SUKAN, kedua-dua pasukan memiliki peluang seimbang walaupun TFC belum pernah tewas di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dengan tujuh kemenangan dan dua kali seri.

Menurut pengendali berusia 44 tahun itu, Selangor FC merupakan pasukan yang serba lengkap di semua posisi serta pemain berkualiti diketuai gandingan penyerang, Herlison Caion dan Henrique Hyuri.

“Belum kalah di laman sendiri bukan bermaksud TFC kebal atau sudah menjamin kemenangan sebaliknya apa yang penting bagaimana kami melakukan persiapan dan peluang masih 50-50.

“Prestasi Selangor juga semakin baik dan semua boleh lihat kualiti mereka mampu menjaringkan gol melalui semua posisi. Jadi bukan mudah untuk TFC walaupun beraksi di tempat sendiri.

“Namun pemain-pemain saya bersedia untuk menghadiahkan kemenangan kepada penyokong dan ini adalah peluang terbaik TFC melangkah ke final,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Nafuzi berkata, TFC akan mempertaruhkan barisan terkuat dengan hampir kesemua pemain utama kembali daripada senarai kecederaan dan masalah kesihatan.

“Saya harap pemain dapat menterjemah aksi terbaik untuk mencipta peluang dan memperkemaskan tindakan penyudah dalam aksi genting ini,” tambah Nafuzi.