PENGENDALI baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio gembira dan mengucapkan terima kasih kepada semua pemainnya yang menunjukkan kesungguhan untuk membawa JDT sekali lagi ke final Piala FA.
Final ini juga adalah julung kali buat Bidoglio walaupun baru mengambil alih pasukan dan dia turut berterima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) kerana memberikannya peluang mengemudi kelab terbesar Malaysia ini.
Dia juga menganggap siapa pun lawan di final nanti sama ada Terengganu FC atau Selangor FC, perlawanan akhir sentiasa akan menjadi perlawanan yang sukar dan kami akan fokus dan bekerja lebih kuat untuk menghadapinya.
Namun begitu meskipun mencatat dua kemenangan besar, bekas pemain kebangsaan Venezuela itu masih mencari ruang untuk memperbaiki pasukan terutama apabila JDT dibolosi satu gol pada pertengahan babak kedua.
“Ianya adalah perasaan yang hebat. Saya ingin berterima kasih kepada TMJ kerana memberikan saya peluang dan juga terima kasih kepada para pemain kerana telah membawa pasukan ke final.
“Siapa pun lawan di final ianya pasti akan menjadi perlawanan yang sukar dan kami akan fokus dan bekerja keras dan kita akan lihat apa yang akan berlaku menjelang aksi final nanti.
“Kita juga sentiasa mahu memperbaiki permainan. Hari ini kita melepaskan satu gol melalui ‘set piece’ dan kami akan cuba perbaiki perkara itu dan akan terus bekerja dengan lebih kuat dan bermain dengan baik seperti hari ini,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.
Bidoglio juga gembira dengan 11 jaringan yang dihasilkan dalam dua perlawanan ini dan tidak mahu ianya berhenti selaras dengan falsafah kelab yang sentiasa dahagakan kejayaan dan para pemain sedar akan tanggungjawab mereka.
JDT kembali ke final Piala FA selepas kali terakhir melakukannya pada 2016 apabila mereka muncul juara menewaskan PKNS FC 2-1 di Stadium Shah Alam hasil jaringan Safiq Rahim dan Jorge Pereyra Diaz.