STADIUM Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dijangka dipilih sebagai venue final Piala FA 2022 yang berlangsung pada hujung bulan ini.
Sumber Flash Sukan difahamkan, ia berdasarkan perbincangan beberapa pihak dengan Perbadanan Stadium di bawah kelolaan Kementerian Belia dan Sukan.
Untuk pengetahuan ramai, stadium kebanggaan negara sebenarnya belum lagi ditutup sepenuhnya apabila masih terdapat acara yang masih berlangsung di sana.
Terdahulu, terdapat cadangan untuk membawa final Piala FA di luar dari Lembah Klang, namun ia tidak fleksibel selepas mempertimbangkan beberapa faktor termasuk fasiliti yang ada di stadium berkenaan.
Berdasarkan kapasiti 100,000 tempat duduk penonton dan merupakan stadium terbesar di Malaysia, pemilihan SNBJ boleh dianggap sebagai pilihan terbaik dengan beberapa kejohanan kelayakan Piala Asia 2023 diadakan sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan pada Sabtu memberitahu Stadium Hang Jebat dan Stadium Cheras berkemungkinan menjadi venue perlawanan akhir Piala FA 2022.
Bagaimanapun, ianya hanya akan terjadi sekiranya SNBJ disahkan tidak dapat digunakan sebagai venue perlawanan akhir Piala FA tahun ini.
Perlawanan akhir edisi ke-32 akan menemukan Johor Darul Ta’zim berdepan Terengganu FC selepas melepasi halangan masing-masing di peringkat separuh akhir.