SETIAUSAHA Agung Persatuan Muay Thai Malaysia, Dr. John Mohd Abdul Rahim memberitahu pihaknya tidak meletakkan apa-apa sasaran kepada barisan atlet muda negara pada Kejohanan Muay Thai Remaja Antarabangsa 2022 (IFMA) minggu ini.
Beliau sedar cabaran pastinya hadir dari beberapa buah negara benua Eropah dan Timur Tengah terutama dari segi fizikal yang lebih besar, namun mengakui atlet-atlet negara memiliki kelebihan dari segi kemahiran dan teknik semasa berlawan.
Ditambah dengan jurulatih berpengalaman, Dr. John yakin Malaysia mampu memberikan aksi terbaik dalam edisi sulung kejohanan itu.
“Cabaran itu memang tinggi kalau kita bandingkan dengan negara lain macam kalau kita lihat Arab, United Kingdom, ramai yang memang kuat.
“Memang kita harap atlet kita boleh berjaya tetapi tidak berani meletakkan sasaran cuma satu sahaja kelemahan budak-budak kita ini, bentuk badan mereka lain. Umur 8 tahun tetapi negara lain lebih tinggi, walaupun kita ikut berat tetapi pasukan lawan lebih tinggi.
“Lebih kepada skill, walaupun badan lawan besar, tetapi atlet kita dari segi latihan memang bagus. Kita hantar satu kumpulan pergi Thailand untuk meningkatkan prestasi mereka.
“Jurulatih kita juga ada pengalaman dari seluruh dunia. Jadi, kita gunakan kepakaran itu dan kita berlatihlah. Walaupun mereka kecil dari segi saiz tetapi kehebatan itu memang ada, tetapi ini baru kali pertama, InshaAllah kita harapkan yang baik,” ujarnya pada sidang media sempena Kejohanan Muay Thai Remaja Antarabangsa pada Isnin.
Dalam pada itu, atlet Muay Thai remaja, Raja Izaffudin Petra Raja Anuar berkata dia berasa teruja untuk beraksi dan berazam mempamerkan aksi terbaik di laman sendiri.
“Perasaan saya berasa bangga dan teruja sebab diadakan di negara sendiri. Saya main kategori 38 kilogram. Waktu 2019, saya bermain di Turki. Saya akan buat yang terbaiklah,” jelas Izaffudin.
Manakala atlet Muay Thai remaja perempuan, Raja Izati Nabiha Raja Anuar pula menjelaskan mereka telah menjalani proses latihan yang padat dan telah melakukan sparring dengan rakan-rakan bagi persediaan menghadapi kejohanan ini.
“Saya bangga sebab dapat wakil Malaysia pada umur 17 tahun. Saya nak buat yang sehabis baik. Proses latihan itu memang banyak sangat dan sparring sebelum ini,” kongsi Nabiha.
Kejohanan Muay Thai Remaja Antarabangsa 2022 akan diadakan buat kali pertama dalam dua kategori Remaja dan Grand Slam bermula 12 hingga 20 Ogos ini di Sunway Pyramid Convention Centre. Kali terakhir ianya diadakan pada 2014 di Kedah namun penyertaan hanya terbuka kepada kategori dewasa sahaja.
Untuk rekod, ia merupakan penampilan kedua Raja Izaffudin dalam kategori 14-15 tahun, 38 kilogram manakala kakaknya, Raja Izati Nabiha pula dalam penampilan ketiganya bagi kategori 16-17 tahun, 45 kilogram setelah berjaya merangkul pingat gangsa dalam dua edisi berturut-turut, 2019 Turki dan 2021 di Thailand.