SAINGAN Liga Malaysia yang diubah jadual dari Ogos hingga Mei pastinya memberi kelegaan kepada setiap pasukan bertanding di Liga Malaysia termasuk dari aspek jendela perpindahan pemain.
Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John dan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam menegaskan perubahan jadual yang ditetapkan AFC dari Ogos hingga Mei adalah menguntungkan pemain dan pasukan untuk saingan liga musim hadapan.
Ia bagaimanapun terpulang kepada persatuan bola sepak negara masing-masing kerana Malaysia masih menggunakan kalendar Februari hingga November.
“Bukan semua negara harus tukar, tapi kalau boleh tukar ia akan menjadi satu keseragaman. Jadi jendela perpindahan semua akan jadi sama untuk semua negara.
“Contoh kalau kita nak hantar pemain ke Jepun jendelanya akan jadi sama. Dia (kelab luar) nak daftar, tapi kita (Liga M) masih lagi main, itu kena fikir. Sebab itu kita kena tukar, sebab kebanyakan pemain daripada Asia tidak dapat sain di Eropah sebab jendela perpindahan lain.
“Jadi kita rugi, jadi itu satu perkara yang penting. Jadi jika FAM nak pindah itu tertakluk kepada mereka. Kelebihan mengikut kalendar AFC itu kelebihannya lebih banyak daripada kekurangan.
“Kalau seorang pemain Malaysia nak pindah ke negara lain misalnya di Asia pun, kalau tarikh perpindahan lain jadi susah lah. Nak daftar pemain baru, tapi kat sini main lagi. Jadi pemain akan sentiasa hilang peluang sebab jendela berbeza,” katanya.
Sebagai rekod, MFL, pada 20 Julai telah mengumumkan Liga Malaysia 2023 akan berwajah baharu apabila 18 pasukan akan beraksi dalam Liga Super manakala Liga Premier ditangguhkan sementara sebagai langkah MFL mengembangkan liga tempatan.
Perlaksanaan penstrukturan liga itu menyaksikan setiap pasukan akan beraksi dalam 34 perlawanan Liga Super bagi musim 2023 berbanding hanya 22 perlawanan sahaja ketika ini, tidak termasuk saingan Piala FA dan Piala Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN:
Penstrukturan baharu Liga Malaysia 2023… Ini yang perlu anda tahu