PENGENDALI Kedah Darul Aman FC (KDA), Aidil Sharin Sahak mahu para pemainnya menyelesaikan tugasan dalam 90 minit dengan mengambil kesempatan keatas jadual yang padat melanda PSM Makassar.
KDA akan berhadapan PSM Makassar dalam aksi Separuh Akhir Zon Asean di Stadium I Wayan Dipta, Bali dalam aksi yang dijangka sengit kerana kedua-dua pasukan pastinya mahukan kemenangan untuk layak ke perlawanan akhir.
Aidil juga menyatakan mereka sudah mengetahui kekuatan yang ada pada pasukan PSM Makassar dan mengarahkan para pemain agar berhati-hati dalam perlawanan esok.
“Persiapan kami berjalan lancar. Kesemua pemain juga berada dalam keadaan yang bagus dan hanya meletakkan fokus kepada aksi separuh akhir ini. PSM Makassar adalah pasukan yang baik. Kami sudah menilai permainan mereka dan sudah pasti esok adalah permainan yang sukar.
Ready for a big game in the #AFCCup2022 💪 . 1 day left! ☝️ #KDAFC #PulunKedahPulun #SangKenari #BiarJasaJadiKenangan #2022season #afccup2022 #semifinal #aseanzone pic.twitter.com/D3l77VHyGm
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) August 8, 2022
“Mereka mempunyai pemain berpengalaman seperti kapten dan dua pemain sayap kembar. Mereka cukup pantas terutama ketika sedang menyerang namun kekuatan mereka terletak pada satu unit dan bukannya pada individu.
“PSM Makassar juga sangat berbahaya terutama pada serangan balas dan juga ketika set pieces. Mereka boleh menghukum kami jika diberikan sepakan percuma dan saya tekankan kepada para pemain supaya lebih berhati-hati dan perlu lebih bersedia,” katanya pada sidang media pra perlawanan.
Keyakinan Aidil turut disokong oleh pemain pertahanan, Mohd Loqman Marzuki yang gembira dengan persiapan pasukan dan mahu memastikan semua yang terlibat dalam perlawanan esok akan memberikan yang terbaik untuk mencipta kemenangan.
Kedah Darul Aman FC kini dilandasan yang tepat untuk layak ke final meskipun sedang bergelut dengan prestasi yang tidak menentu di Liga Super dan kini berpeluang menebus kehampaan itu dengan meraih kemenangan di peringkat Asia.