KEMBALINYA Datuk Dollah Salleh sebagai ketua jurulatih dilihat memberikan nafas baharu buat Sri Pahang FC yang berjaya mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dalam Liga Super.
Magis yang dimiliki Dollah berjaya menaikkan semula reputasi Sri Pahang sebagai pasukan yang digeruni apabila menewaskan PJ City FC 3-0 dalam aksi di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Kekalahan ini juga menyaksikan PJ City FC gagal memenangi perlawanan buat kali ke-11 berturut-turut dan kini mendiami tangga kedua terakhir liga dipisahkan lima mata dengan Penang FC.
Sri Pahang berjaya mendapatkan jaringan menerusi Malik Mat Arif dan Steven Rodriguez pada babak pertama dan Manuel Hidalgo pada akhir babak kedua untuk mengutip tiga mata penuh dan kini melonjak ke tangga keenam liga.
Magis Dollah ini juga menyaksikan Sri Pahang kini memintas posisi Kedah Darul Aman FC dan Selangor FC tetapi bermain lebih satu perlawanan berbanding dua pesaing itu dan akan meneruskan momentum cemerlang bertemu Melaka United Sabtu ini.
PJ City pula terpaksa menerima kekalahan ini dan perlu melakukan beberapa perubahan sebelum turun menentang Negeri Sembilan FC juga pada Sabtu.