FINALIS Piala FA, Terengganu FC (TFC) terpaksa membuat perubahan dalam kesebelasan utamanya untuk perlawanan Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), malam ini.

Menurut ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain, rombakan pemain itu perlu dibuat atas faktor isu kecederaan dan kecergasan setelah mereka bertarung lebih 120 minit dalam separuh akhir Piala FA pada Sabtu.

Nafuzi bagaimanapun berkata, anak-anak buahnya berjanji tidak akan memberi laluan mudah kepada juara bertahan Liga Super itu walaupun tanpa beberapa pemain tonggak.

“Selain faktor kecergasan dan kecederaan, terdapat pemain yang masih dilanda demam. Ramai tonggak mungkin tidak sempat pulih untuk bertemu JDT nanti.

“Semua tahu JDT adalah lawan yang sukar namun tidak mustahil TFC boleh memenangi perlawanan ini sekiranya pemain-pemain menunjukkan usaha dan lebih kesungguhan.

“TFC juga punyai rekod baik tanpa kalah dalam 10 perlawanan di tempat sendiri. Jadi kami tidak rela rekod itu lebur di tangan JDT,” ujarnya ketika ditemui Flash Sukan di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Nafuzi turut mengesahkan penyerangnya, Kpah Sherman akan kembali mengetuai jentera serangan TFC bertemu Harimau Selatan selepas terlepas aksi bertemu Selangor FC.