PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob gembira apabila Malaysia kembali menganjurkan kejohanan antarabangsa selepas dua tahun berikutan penularan pandemik Covid-19.

Beliau yang turut hadir di Majlis Perasmian Kejohanan Muay Thai Remaja Antarabangsa 2022 yang di berlangsung di Sunway Pyramid pada Rabu, berharap selepas ini lebih banyak lagi acara dan kejohanan antarabangsa akan diadakan di Malaysia bagi merancakkan kembali sukan negara di peringkat tertinggi.

“Setelah dua tahun kita tutup sempadan negara kita, tidak ada perkumpulan yang ramai dan sebagainya, jadi banyak acara-acara besar yang tidak dapat dilaksanakan di negara kita. Alhamdulillah hari ini saya sangat gembira kerana program hari ini.

“Ia merupakan satu program yang besar dan minggu lepas, saya di Melaka, Kejohanan Silat Antarabangsa juga melibatkan jumlah kehadiran yang ramai daripada beberapa negara yang menyertainya.

“Saya harap untuk sukan ini lebih banyak lagi acara-acara besar terutama yang melibatkan kejohanan antarabangsa dapat dilaksanakan di Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Muay Thai Malaysia (WTF), Dr. John Mohd Abdul Rahim berharap penyokong akan terus memberi sokongan dan mendoakan kejayaan Atlet Muay Thai Malaysia yang bakal memulakan cabaran pada 12 Ogos ini.

Dengan bantuan pakar perubatan dan bertindak sebagai tuan rumah kejohanan, beliau yakin segalanya akan berjalan dengan lancar bagi Atlet Muay Thai kebangsaan menghidangkan aksi terbaik pada temasya dwitahunan itu.

Tambahnya, atlet dari luar negara tampil dengan harapan untuk membawa pulang pingat emas dan sedang menyesuaikan diri dengan cuaca di Malaysia sebelum kejohanan bermula pada Jumaat ini.

“Sebagai hos, ramai penyokong, jadi semangat itu bertambah. Jadi, minta semua sama-sama berdoa anak-anak kita berjaya.

“Sepatutnya perasmian ini diadakan pada malam, tetapi ada sebab-sebab tertentu, kami telah tarik ke depan lagi. Kami memohon maaf, ramai berpeluh kerana panas tetapi semua berjalan dengan lancar.

“Atlet-atlet luar negara sedang menyesuaikan diri dengan cuaca di sini, jadi mereka berlatih merata-rata. Harapan mereka tinggi, semua pun hendak memenangi emas

“Kami berharap semua berjalan dengan lancar kerana kami dibantu oleh bahagian perubatan, itu yang paling penting,” katanya.

Kejohanan Muay Thai Remaja Antarabangsa 2022  akan diadakan buat kali pertama dalam dua kategori Remaja dan Grand Slam bermula 12 hingga 20 Ogos ini di Sunway Pyramid Convention Centre. Kali terakhir ianya diadakan pada 2014 di Kedah namun penyertaan hanya terbuka kepada kategori dewasa sahaja.