Foto: MSN
PELARI pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi mahu menimbangkan semula keputusan untuk melanjutkan pengajiannya di Universiti Houston, Amerika Syarikat.
Atlet berusia 18 tahun itu berkata keputusan dibuat selepas dia turut menerima tawaran melanjutkan pengajian daripada beberapa universiti lain di negara itu dan akan membincangkan mengenai hala tuju terbaharunya bersama ibu dan bapanya selain jurulatih Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah.
“Kalau saya pilih Houston, di sana ada satu komuniti Islam besar yang dapat menjamin keadaan saya selain universiti itu telah melahirkan pelari pecut bertaraf duna dan terdapat jurulatih terbaik.
“Saya juga dapat tawaran daripada Universiti Auburn yang akademiknya lebih baik daripada universiti sukan lain. Apa-apa pun saya fikirkan yang terbaik untuk saya,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Rabu.
Sebelum ini, atlet kelahiran Perak itu membuat keputusan untuk ke Universiti Houston yang baru sahaja melantik pemenang pingat emas sembilan kali Sukan Olimpik, Carl Lewis sebagai ketua jurulatih olahraga dan balapan. –Bernama