KELAB Johor Darul Ta’zim (JDT) mengalami kekalahan pertama dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) selepas dibelasah Kawasaki Frontale 5-0 pada malam yang menyaksikan pengendali Benjamin Mora menurunkan hampir keseluruhan muka baru dalam kesebelasan utama.
Mora merombak pasukan dengan merehatkan lima tonggak, Bergson Da Silva, Leandro Velasquez, Arif Aiman, Shahrul Saad dan Natxo Insa dalam cubaannya melakukan penggiliran pemain akibat jadual yang padat.
Bienvenido Maranon, Safawi Rasid, Ramahan Saifullah, Nathaniel Shio dan Mauricio diberikan kepercayaan untuk memulakan permainan dengan Kawasaki Frontale kali ini meletakkan Chanatip Songkrasin di bahagian tengah.
Permainan seimbang ditunjukkan kedua-dua pasukan namun Kawasaki Frontale berjaya menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-14 selepas Yasuto Wakizaka melakukan sepakan percuma yang menarik sekaligus menewaskan Farizal Marlias.
Perjudian Mora menurunkan Mauricio nyata tidak berhasil apabila dia tercedera dan digantikan oleh Aidil Zafuan untuk bergandingan dengan Shane Lowry.
Yu Kobayashi menggandakan kedudukan Kawasaki apabila mudah menolak masuk hantaran Yasuto Wakizaka pada minit ke-31 hasil gerakan menarik dari tengah padang.
Sekali lagi Yu Kobayashi menghukum kealpaan benteng pertahanan JDT selepas mudah menolak masuk hantaran lintang Miki Yamane pada minit ke-43 untuk kedudukan 3-0 berpihak kepada Kawasaki pada separuh masa pertama.
JDT melakukan beberapa pertukaran pada babak kedua dan berjaya mengancam kubu Kawasaki Frontale pada minit ke-52 menerusi percubaan Nazmi Faiz dan Shane Lowry.
Gerakan demi gerakan diatur ke kubu Kawasaki namum kelemahan penyudah dan ‘link up play’ yang gagal menyaksikan Harimau Selatan gagal menguji gawang Kawasaki Frontale.
Ketika permainan berbaki sembilan minit, pemain sayap, Marcinho menjaringkan gol keempat sebelum Chanatip Songkrasin menambah derita JDT dengan gol kelima pada minit ke-88 sekaligus menghadiahkan kekalahan pertama JDT dalam kempen Liga Juara-Juara AFC kali ini.
Hasil keputusan ini, Kawasaki Frontale kini memimpin Kumpulan I dengan lapan mata hasil dua kemenangan dan dua seri manakala JDT turun ke tangga kedua dengan tujuh mata.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan I yang berlangsung pada sebelah petang, Ulsan Hyundai kembali menghidupkan peluang apabila membelasah Guangzhou FC 5-0 dan kini berkongsi tujuh mata bersama JDT tetapi dibezakan pertemuan ‘head to head’ kedua-dua pasukan.
JDT bakal bertemu Guangzhou FC pada Rabu untuk perlawanan kelima manakala Kawasaki akan bertemu Ulsan Hyundai dalam satu lagi aksi yang dijangka menarik.