Coretan Oleh: NIZAM ARCHIBALD

NAK pergi atau tidak?

Itu persoalan yang bermain di fikiran aku bila Kuala Lumpur City FC layak ke separuh akhir zon ASEAN Piala AFC.

Duit, Covid-19 yang masih berleluasa dan tidak pernah menjejakkan kaki ke Vietnam antara perkara yang membuatkan aku teragak-agak untuk membuat keputusan yang sangat penting ini.

Tetapi selepas kali terakhir berpetualang ke luar negara demi bola sepak pada tahun 2019, aku akhirnya nekad untuk pergi.

Apatah lagi ini perlawanan melibatkan pasukan kesayangan aku Kuala Lumpur yang aku mula sokong ketika mereka berada di tahap terburuk mereka.

Pejamkan mata dan tekan saja butang beli tiket penerbangan itu.

Menunggu tarikh penerbangan, sedikit demi sedikit aku mula merasa lega kerana membuat keputusan ini.

Duit tolak tepi, ini demi jiwa. Aku teringat ketika terbang ke Indonesia untuk melihat Kuala Lumpur bermain perlawanan pra musim menentang kelab Indonesia, PSS Sleman.

Aku mulai sedar bahawa ini taraf berbeza. Ini kejohanan Asia, bukan pra musim.

Banyak perkara yang aku dengar berkenaan Ho Chi Minh atau juga dikenali sebagai Saigon ini. Ada perkara yang baik, dan ada yang buruknya juga. Nampaknya, aku kena rasa sendiri untuk tau.

Aku menaiki pesawat pada jam 11 pagi waktu Malaysia. Dalam pesawat aku sudah mula terbayang kopi Vietnam yang cukup terkenal. Ada peluang boleh aku cuba nanti.

Walaupun aku pergi bersendirian, tetapi di dalam penerbangan yang sama ada beberapa penyokong KL yang turut bersama.

Setibanya aku di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat, aku terus dikejutkan dengan satu perkara yang aku memang takkan jangka.

Aku dah biasa melihat pegawai imigresen di negara lain atau Malaysia yang membuat pertukaran pegawai dengan santai, tapi tidak di Ho Chi Minh ini.

Ketika aku beratur untuk menunggu passport dicop, tiba-tiba sekumpulan pegawai imigresen berbaris dan berdiri di sebelah kaunter masing-masing sambil menghadap barisan manusia yang sedang menunggu passport dicop ini.

Serentak mereka menundukkan badan sebagai tanda hormat dan kemudian masuk ke kaunter masing-masing untuk berkerja. Ini memang lain macam.

Ho Chi Minh adalah bandar utama, sama seperti Kuala Lumpur. Tetapi bezanya mereka tidak terlalu berlumba siapa ada bangunan paling tinggi dan mereka ada banyak taman untuk rakyat santai atau bersenam.

Di sini, mereka tidak lepak kedai mamak untuk mengeteh, tetapi mereka mengopi.

Kagum aku melihat mereka masih boleh minum kopi walaupun sudah tengah malam. Dua cawan untuk aku di hari ketibaan sudah cukup membuatkan perut meragam dan tidur pukul 3 pagi.

Tolak tepi kopi dan jalan-jalan. Aku sedar misi aku untuk apa. Aku mahu melihat KL City terbang lebih jauh di peringkat Asia ini.

Berdepan Viettel FC bukan tugas mudah. Malaysia dan Vietnam bukan pasangan ideal. Vietnam berada di tahap berbeza walaupun Viettel ini bukanlah pasukan terbaik di liga mereka ketika ini.

Viettel ini nama salah satu syarikat telco mereka, jadi ini ibarat Telekom Melaka lah dulu.

Hari perlawanan penyokong KL sudah mula buat gila. Saigon ini mereka perlakukan seperti di Kuala Lumpur.

Dengan memasang suar, kami berarak di tengah kota Saigon untuk masuk ke dalam bas yang sudah disediakan oleh pihak pengurusan KL City sebagai tanda terima kasih kepada semua penyokong yang hadir.

Stadium Thong Nhat ini sesuai untuk kita gunakan peribahasa Inggeris, “Don’t judge a book by its cover”.

Jika dilihat dari luar dan rupa bentuk stadium ini, kita boleh samakan dengan Stadium Merdeka sekarang. Tetapi padangnya kelihatan cukup cantik.

Melihat riak wajah penyokong KL yang berada dalam stadium, aku turut rasa teruja. Kami tak ramai, tapi kami ada. Itulah motto yang sering figunakan tak kira untuk perlawanan di laman sendiri atau di tempat lawan. Ramai di antara mereka ini sudah lama menyokong KL.

Ada yang sempat merasa zaman kegemilangan KL di Stadium Merdeka, dan ada juga seperti aku yang mula menyokong di zaman kejatuhan KL. Tapi cintanya tetap sama, Kuala Lumpur.

Tipulah kalau aku katakan apabila perlawanan berlangsung aku tenang dan gembira. Viettel menunjukkan kelas tersendiri dengan permainan yang cukup cantik.

Mereka mendominasi perlawanan, tetapi KL terus kental. Aku yakin Bojan Hodak telah belajar dari perlawanan liga berdepan JDT. Taktikal bertahan dan cuba menyerang balas adalah cara yang lebih baik terutamanya apabila berdepan pasukan yang lebih superior.

Beberapa kali aku memejamkan mata apabila Viettel menyerang. Oh ya, aku ada satu kepercayaan karut yang ketika pasukan lawan menyerang, aku akan pejamkan mata.

Kononnya itu boleh membuatkan serangan mereka tidak berhasil. Nampaknya memang berhasil.

KL nampak sukar mencari jalan untuk mendapatkan rentak. Tetapi itu bukan bermakna Viettel dapat menguji KL.

Melihat pada statistik perlawanan, Viettel melakukan 25 percubaan tetapi hanya dua yang tepat pada sasaran sedangkan KL cuma mempunyai lima percubaan tetapi tiga tepat ke sasaran.

Pujian aku berikan kepada barisan pertahanan terutamanya kerana berjaya menghalang serangan Viettel menguji Azri Ghani.

Bola di udara?

Tiada masalah. Nak cuba serang gunakan kepantasan? Tiada masalah. Nak cuba merembat dari jauh? Kami akan beri tekanan.

Hasil kerja keras mereka, 120 minit berlalu tanpa jaringan. Aku benci penentuan sepakan penalti.

Apa sahaja boleh terjadi dalam penentuan sepakan penalti. Ini perlawanan mental.

Saat sepakan Irfan Zakaria melambung tinggi, wajah semua penyokong KL mula nampak sugul. Bagaikan terfikir adakah ini pengakhiran untuk perjalanan Asia ini?

Penyokong Viettel yang aku rasa dibawa dari sekolah entah mana bersorak lebih kuat.

Rupanya tuah bukan setakat di Melaka, tetapi juga ada di KL. Penendang keempat Viettel memberikan sisa harapan untuk KL selepas sepakannya sekadar mencium palang.

Senyuman penuh harapan kembali terukir di wajah aku dan penyokong KL lain. Perlahan-lahan kami dapat rasakan, ini malam anak kota.

Akram mudah menyempurnakan sepakan penalti keenam KL. Tenang seperti riak wajahnya.

Azri Ghani yang sering menjadi penjaga gol kedua di belakang Kevin Ray Mendoza perlukan sokongan.

“Azri! Azri! Azri!” teriak kami yang jauh dari tempat sepakan penalti itu cuba menaikkan semangat anak muda ini.

Penendang Viettel meletakkan bola. Dia berundur sedikit untuk mendapatkan langkah yang tepat. Dia meluru ke arah bola.

Mungkin dia sudah terbayang sepakannya akan menerjah gawang. Dia memilih untuk menyepak bola ke sebelah kanan Azri…

“PAAP!” Bunyi sarung tangan Azri menepis sepakan penalti itu.

“Kita ke final!!!!” jerit penyokong KL yang berada di stadium seperti tidak percaya. Jika anda tidak pernah melihat lelaki menangis, di saat beginilah sebenarnya mereka menitiskan air mata.

Segala pengorbanan untuk menjejakkan kaki ke bumi Ho Chi Minh ini terbayar dengan satu tepisan dari Azri Ghani.

Ada yang berpelukan, ada yang berlari tak tentu arah, ada yang berjoget. Semua kerana kegembiraan.

Aku? Aku menjerit “kita ke final” berulang kali bagaikan orang gila. Apa? Baru final Zon Asean Piala AFC? Itu kami tidak peduli. Ini malam kami.

Malaysia street yang menjadi tempat tumpuan rakyat Malaysia di Ho Chi Minh bagaikan bertukar menjadi Kuala Lumpur malam itu.

Sampai Mati Kuala Lumpur diteriak berulang kali sambil kami berpesta dilimpahi cahaya suar. Pengunjung yang berada di situ melihat sambil merakam gelagat kami.

Kami sudah tidak peduli, kerana kami Kuala Lumpur Sampai Mati.