MALAYSIA bakal bergelar tuan rumah Kejohanan Piala Asia Baseball5 yang bakal berlangsung pada 17 hingga 19 Ogos ini di Grand Ballroom Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.
Kejohanan yang pertama kali diadakan ini juga adalah pusingan kelayakan ke Piala Dunia Baseball5 yang bakal berlangsung di Mexico pada 7 hingga 13 November 2022.
Baseball5 adalah disiplin baharu sukan Baseball-Softball yang hanya memerlukan sebiji bola sahaja dengan lima pemain yang boleh dimainkan di pelbagai permukaan bersaiz 1800cm x 2100cm.
Presiden Softball Asia, Datuk Low Beng Choo berkata, ianya adalah satu penghargaan buat Malaysia kerana menjadi tuan rumah Kejohanan Piala Asia Baseball5 yang pertama selain turut menganjurkan Seminar Bersama WSBC-Asia Baseball5 dan Mesyuarat Majlis Eksekutif Softball Asia.
“Kejohanan Piala Asia Baseball5 pertama ini juga adalah pusingan kelayakan ke Piala Dunia Baseball5 di Mexico dengan tiga pasukan teratas akan layak ke Piala Dunia. Tiada pasukan pilihan untuk kejohanan ini kerana ini kali pertama ianya dianjurkan.
“Sejak sukan ini diperkenalkan, ianya berkembang baik dan mendapat sambutan yang baik dari seluruh dunia dan disiplin sukan ini juga telah diterima sebagai salah satu sukan dalam Sukan Olimpik Belia Dakar, Senegal pada 2026,” katanya dalam sidang media pada Khamis.
Turut hadir dalam sidang media itu adalah Valerio Cianfoni, Pengarah Teknikal WSBC selain Presiden Persatuan Softball Malaysia yang baharu dilantik, Willeam Mah.
Sembilan pasukan akan mengambil bahagian dalam kejohanan ini dengan Malaysia sebagai tuan rumah, Hong Kong, Republik Korea, Jepun, Pakistan, Filipina, Thailand, Singapura dan Chinese Taipei.
Kesemua pasukan dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama pasukan Republik Korea dan Thailand.