FOTO: Facebook KDA FC
KELAB Penyokong Hijau Kuning (HKC) menyambut baik penerimaan pihak Kedah Darul Aman FC untuk berdialog bersama kelab peminat dan kelab penyokong Kedah.
Presidennya, Saiful Azrul Che Lah berharap dialog ini berlangsung dalam suasana yang harmoni dan penuh muhibah.
“Antara hasrat utama ialah peminat berhasrat untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku sehingga prestasi pasukan merudum dengan ketara.
“Peminat ingin mengetahui apa tindakan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang KDA FC dalam menangani permasalahan ini.
“Peminat juga ingin mengetahui kesinambungan perancangan yang telah diutarakan dalam dialog sesi pertama sebelum ini,” katanya kepada FLASH SUKAN pada Jumaat.
Saiful Azrul juga menggesa dialog ini nanti dapat disiarkan secara langsung menerusi media sosial KDA FC seperti mana yang pernah dilakukan kelab Johor Darul Ta’zim kerana semua peminat Kedah juga mahu tahu apa perancangan KDA FC.
“Ia selari dengan harapan kita agar tiada apa yang perlu disembunyikan daripada peminat.
“Akhir sekali, kita mengharapkan sesi dialog ini dapat membuahkan hasil dan situasi menang-menang semua pihak demi memartabatkan bola sepak Kedah pada tahap yang terbaik.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khamal Idris Ali yang dipetik melalui surat kepada HKC memaklumkan akan mengadakan satu sesi dialog bersama kelab-kelab penyokong Kedah bagi menerangkan perkembangan terkini pasukan Hijau Kuning.
Kemuncak kemarahan penyokong Sang Kenari bagaikan sukar dibendung lagi selepas skuad kendalian Aidil Sharin Sahak terkeluar dari saingan Piala AFC Zon ASEAN 2022 apabila kalah 1-2 kepada kelab Indonesia, PSM Makassar di peringkat separuh akhir pada 9 Ogos lalu.