PRESIDEN Persatuan Softball Malaysia (SAM) Willeam Mah Choon How yakin dengan kemampuan barisan Baseball5 Malaysia untuk merebut tiga tempat teratas Kejohanan Baseball5 Asia sekaligus layak ke Piala Dunia Baseball5 di Mexico pada November.

Dia yang ditemui ketika sidang media berkata pemain-pemain yang dipilih adalah pemain softball kebangsaan yang lebih mudah mengadaptasi kepada disiplin baharu ini kerana mempunyai asas kepada sukan softball.

Skuad kendalian Cheong Ho Yeen dan Winson Low Wui Yong bakal berentap dalam Kumpulan A bersama-sama pasukan Republik Korea dan Thailand dalam kejohanan yang bakal membuka tirai pada 17 hingga 19 Ogos 2022.

Willeam Mah Choon How

“Tiga daripada pemain kita adalah bekas pemain softball kebangsaan yang beraksi di Sukan Sea 2019 manakala lima lagi pemain adalah pelajar sekolah dan universiti dengan kesemua mereka adalah pemain softball yang ada di negara ini.

“Semua pasukan yang bertanding mempunyai peluang untuk muncul juara kerana kejohanan ini pertama kali diadakan dan jika pemain kita bermain dengan baik, kita mempunyai peluang untuk layak ke Piala Dunia Baseball5 di Mexico.

“Ketika ini persiapan dan latihan pasukan berjalan dengan lancar. Kesemua pemain lelaki dan perempuan mudah mengadaptasi permainan ini dan saya yakin mereka mampu memberikan aksi yang terbaik walaupun bakal berhadapan cabaran Republik Korea,” katanya kepada media.

Selain itu, Willeam juga berharap agar disiplin sukan ini bakal mempunyai gelanggang latihan sendiri untuk memudahkan latihan kerana SAM mempunyai perancangan untuk mewujudkan liga Baseball5 dan menganjurkan Piala Asia Baseball5 di Malaysia pada tahun hadapan.

Kejohanan Piala Asia Baseball5 pertama ini akan diadakan di Grand Ballroom Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur dan ianya juga adalah pusingan kelayakan zon Asia ke Piala Dunia Baseball5 di Mexico pada November 2022.

Sembilan pasukan akan mengambil bahagian dalam kejohanan ini dengan Malaysia sebagai tuan rumah, Hong Kong, Republik Korea, Jepun, Pakistan, Filipina, Thailand, Singapura dan Chinese Taipei.