WALAUPUN dicemuh dan dikecam hebat pelbagai pihak, pasukan Perak FC tetap komited dan unggul sebagai kelab yang sentiasa kekal profesional.

Ia dinyatakan sendiri oleh Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi pada Jumaat.

“Tahniah kepada skuad kerana mampu bertahan dan menang perlawanan di Kelantan.

“Alhamdulillah, nasib menyebelahi kita.

“Perak FC akan sentiasa kekal profesional, jadi bab keselamatan adalah keutamaan kami.

“Kita mesti memastikan keselamatan semua yang hadir setiap masa. Terima kasih atas sokongan kome dan kita jumpa di Pasir Gudang akhir minggu ini,” katanya.

Perlawanan di Kota Bharu, Kelantan tempoh hari berlangsung dalam suasana tegang apabila berlaku insiden-insiden kekasaran tetapi mujur tidak menjadi pergaduhan besar termasuk kekecohan penyokong dalam dan luar stadium.

Dengan berbaki empat perlawanan, The Bos Gaurus harus menumpukan 100 peratus aksi atas padang bermula bertemu Johor Darul T’azim (13 Ogos), diikuti Projek FAM-MSN (21 Ogos), UiTM (3 September) sebelum melengkapkan saingan terakhri liga melayan kunjungan Kuching City FC di Ipoh (11 September).