JARINGAN  tunggal penyerang import, Kpah Sherman menyelamatkan maruah Terengganu FC (TFC) untuk mengalahkan Sarawak United 1-0 dalam aksi Liga Super di tempat sendiri, malam ini.

Skuad kendalian Nafuzi Zain menguasai awal permainan melalui percubaan tepat Nik Sharif Haseefy dari sebelah kiri untuk mula mencemaskan Sarawak United pada minit ke-20.

Dua minit berselang, giliran Habib Haroon menguji penjaga gol pelawat namun sepakannya hasil hantaran pendek Manuel Ott ditepis Tauffiq Ar Rasyid Johar.

Kem TFC kemudian hampir dikejutkan pelawat mujur tandukan Gonzalo Sato yang menerima sepakan sudut S. Chanturu tersasar ke sebelah tepi pada minit ke-31.

 

Penjaga gol Sarawak United, Tauffiq Ar Rasyid terus cemerlang menepis percubaan berturut-turut daripada Ott dan Nik Sharif pada minit ke-58 untuk menyelamatkan pintu golnya.

Kedudukan akhirnya berubah pada minit ke-72 apabila gerakan Faisal Abdul Halim dari sebelah kiri disudahkan dengan baik oleh Sherman untuk memecahkan kebuntuan permainan.

TFC berpeluang menambah jaringan melalui Faisal dan Sherman (m-87) tetapi ketumpulan tindakan penyudah memaksa Sang Penyu terpaksa berpuas hati dengan kemenangan tipis 1-0.