PENYANDANG juara dunia MotoGP, Fabio Quartararo meraih kemenangan pertama musim ini apabila berjaya mempamerkan tunggangan dominan di Grand Prix Portugal di Litar Portimao.
Quartararo mendahului selesa sepanjang perlumbaan untuk memberikan kemenangan pertama buat Yamaha sejak perlumbaan di Silverstone musim lalu sekaligus berkongsi tangga teratas keseluruhan dengan Alex Rins.
Johann Zarco yang bermula di petak hadapan berjaya mengekang asakan Aleix Espargaro untuk menghabiskan perlumbaan di tangga kedua manakala Espargaro melengkapkan podium.
Ketika perlumbaan berbaki tujuh pusingan, Jack Miller yang sedang mengejar podium berlanggar dengan juara dunia 2020, Joan Mir ketika ingin memintas sekaligus membenarkan Zarco dan Espargaro tamat di tempat kedua dan ketiga.
Pelumba Suzuki, Alex Rins berjaya bangkit sehingga ke nombor empat meskipun bermula di petak ke-23 yang juga membuktikan kelajuan jentera yang ditunggangi.
Sementara itu dalam aksi Moto2 Joe Roberts berjaya memenangi grand prix buat kali pertama dalam perlumbaan yang terganggu yang menyaksikan hanya 17 pelumba melakukan permulaan semula yang berlangsung sebanyak tujuh pusingan.
Moto3 pula menyaksikan Sergio Garcia mendahului di hadapan pada masa yang tepat untuk membawa pulang kemenangan kedua dalam Grand Prix dalam aksi mendebarkan.
MotoGP kini akan menuju ke Jerez untuk Grand Prix Sepanyol minggu hadapan.