JURULATIH berasal dari Bosnia, Vahid Halilhodzic boleh dikategorikan sebagai jurulatih paling malang untuk merasai nikmat mengendalikan pasukan di Kejohanan Piala Dunia.

Halilhodzic yang berjaya membawa Maghribi ke pentas Piala Dunia Qatar 2022 telah dipecat dari jawatannya tiga bulan sebelum bermula acara bola sepak terbesar dunia itu.

Persatuan Bola Sepak Maghribi menyatakan sebab utama dia dipecat adalah kerana berlaku perbezaan pendapat mengenai persediaan pasukan menjelang aksi pembukaan di Qatar.

Vahid Halilhodzic

Maghribi diundi dalam Kumpulan F bersama-sama dua jaguh Eropah, Belgium dan Croatia serta wakil Amerika Utara, Kanada untuk penampilan keenam mereka dalam sejarah Piala Dunia.

Apa yang menarik, ini bukanlah kali pertama Halilhodzic dipecat sebelum Piala Dunia. Sebelum ini dia dipecat dari jawatannya empat bulan menjelang sepak mula ketika mengendalikan Ivory Coast pada 2010.

Maghribi diundi dalam Kumpulan F

Dia juga dipecat dua bulan sebelum Piala Dunia 2018 ketika membimbing Jepun dengan alasan yang diberikan oleh JFA ketika itu adalah masalah komunikasi antaranya dan para pemain Samurai Biru.

Namun beliau dapat merasai kehangatan Piala Dunia pada 2014 di Brazil ketika membawa Algeria ke pusingan 16 terbaik dan hampir mengejutkan Jerman yang akhirnya muncul juara kejohanan itu.