PRESIDEN Kelab Penyokong Puaka Jerai (PJFC), Zulkifli Hashim meminta segelintir penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC supaya segera menghentikan segera kecaman tidak masuk akal kepada keluarga Aidil Sharin Sahak.

Dia memaklumkan, akibat daripada serangan berbaur negatif anak dan isteri pengendali KDA FC itu mengalami tekanan.

“Saya mendapat perkhabaran keluarga coach Aidil di Singapura mendapat kecaman penyokong yang tidak bertanggungjawab.

“Ini adalah bola sepak, tidak perlu membabitkan anak dan isterinya ke kancah bola sepak.

“Mereka tidak kena mengena dalam kemerosotan pasukan KDA musim ini.

“Masalah dalaman kita biarlah kita sesama selesaikan sendiri. Kita tak tau penyokong dari mana yang buat macam tu,” ujarnya yang diangkat sebagai Ikon Penyokong Bola Sepak Kedah oleh peminat Sang Kenari.

Tambah Zulkifli yang sinonim panggilan Puaka Jerai turut mengingatkan penyokong bahawa legenda bola sepak negeri itu, Baddrol Bakhtiar pun tidak terlepas dari kecaman seperti dialami Aidil.

“Hentikanlah perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan jadilah penyokong bola sepak yang matang.

“Usah menabur garam pada luka pastinya ia meraung kesakitan,” katanya.

Rekod Aidil bersama Kedah berjaya meraih Piala FA, naib juara Liga Super dan naib juara Piala Malaysia serta membawa kelab dari utara itu layak ke pertandingan Piala AFC 2022.

“Dalam masa yang sama dia juga mengetengahkan beberapa pemain muda berkualiti ke dalam skuad musim ini,” katanya lagi.

Selepas ini, Kedah akan melayan kunjungan pasukan tangga kedua Liga Super, Sabah FC di Alor Setar pada Rabu.