BERITA baik untuk peminat pemotoran khususnya di di Sungai Petani, Kedah apabila Kerajaan Negeri itu berusaha untuk membina litar lumba.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pembinaan litar sebegini mampu melahirkan lebih ramai pelumba tempatan.
“Semalam saya dijemput menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian ORIC @ Sungai Petani.
“Tahniah saya ucapkan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Kerajaan Negeri atas usaha untuk membina litar lumba di Sungai Petani.
“Semoga segala perancangan dipermudahkan, Insha Allah,” katanya menerusi Twitter pada Selasa.
Semalam saya dijemput menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian ORIC @ Sungai Petani.
Tahniah saya ucapkan kepada YAB MB Kedah @SanusiMNor dan Kerajaan Negeri atas usaha untuk membina litar lumba di Sungai Petani.
Semoga segala perancangan dipermudahkan, Insha Allah 🤲🏻 pic.twitter.com/nzP9WVpUej
— Faizal Azumu (@PejaOfPerak) August 15, 2022
Selain itu katanya, ia juga membuka ruang untuk anak tempatan mengasah bakat dalam bidang kejuruteraan enjin.
“Satu hari nanti tidak mustahil Malaysia mampu menjadi kuasa besar dunia permotoran,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Sanusi mencabar kepada Pengasas dan Penasihat Open Road World Sdn. Bhd, Datuk David Goh yang mahu berlumba atas trek itu dalam tempoh enam bulan.
Cabaran itu disahut oleh David dalam Majlis Pelancaran Kumpulan dan Menandatangani Perjanjian Projek Litar Lumba Permodalan Kedah Berhad (PKB) Open Road SP Circuit Sungai Petani, semalam.
Terdahulu, kerajaan bercadang untuk membina litar khusus bagi perlumbaan drag di setiap negeri dalam usaha memperkasakan program pembangunan sukan permotoran dalam negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata cadangan itu akan dimasukkan dalam Bajet 2023, yang akan dibentang Oktober ini.