PELUANG Kuala Lumpur City FC untuk layak ke final Antara Zon Piala AFC seandainya menewaskan PSM Makassar pada final Zon Asean minggu hadapan kini semakin cerah dan berterima kasih kepada keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
FIFA memutuskan untuk menggantung Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) akibat campur tangan pihak ketiga dalam organisasi tersebut sekaligus mengakibatkan kelab Mohun Bagan yang menanti pemenang final Zon Asean digantung dan tidak dibenarkan beraksi.
Ini sekaligus memberikan peluang terbaik buat anak-anak buah Bojan Hodak untuk terus mara ke Final Antara Zon dan akan bertemu sama ada kelab Hong Kong, Eastern FC ataupun pemenang final zon Asia Tengah.
The suspension of the All India Football Federation threatens the country's hosting of the Under-17 Women's World Cup scheduled for Oct. 11-30.https://t.co/JUYcdKGMn7
— HT Sports (@HTSportsNews) August 16, 2022
Perkara ini diumumkan oleh FIFA di laman web rasmi mereka dimana skuad kebangsaan India tidak boleh beraksi dalam mana-mana pertandingan yang dianjurkan oleh ahli FIFA dan kini dilucutkan hak penganjuran temasya Piala Dunia Wanita B-17 tahun yang bakal berlangsung dari 11-30 Oktober 2022.
“Biro Majlis FIFA telah sebulat suara memutuskan untuk menggantung AIFF berkuatkuasa serta-merta kerana terdapat campur tangan atau pengaruh daripada pihak ketiga, yang merupakan pelanggaran serius Statut FIFA.
“Penggantungan itu akan ditarik balik sebaik sahaja perintah untuk menubuhkan jawatankuasa pentadbir untuk mengambil alih kuasa Jawatankuasa Eksekutif AIFF telah dimansuhkan dan pentadbiran AIFF mendapat semula kawalan penuh terhadap hal ehwal harian AIFF,” tulis kenyataan itu pada Selasa.
Akibat daripada penggantungan ini akan menyebabkan pasukan kebangsaan India tidak boleh beraksi dalam mana-mana pertandingan termasuk Piala Asia AFC 2023 dan perlawanan persahabatan yang diaturkan menentang Vietnam kini dibatalkan.
Turut menerima tempias daripada tindakan ini adalah kelab-kelab dari Liga India tidak akan dibenarkan menyertai saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) dan Piala AFC tahun hadapan.
Perkara ini bukanlah benda baharu dalam bola sepak Asia apabila sebelum ini Indonesia, Kuwait dan Pakistan turut digantung FIFA ekoran campur tangan pihak ketiga yang biasanya dari pihak kerajaan atau ahli politik.