JOHOR Darul Ta’zim (JDT) telah tiba di Jepun untuk menghadapi cabaran peringkat kalah mati dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) berhadapan Urawa Red Diamonds pada Jumaat ini.

Jika berjaya menewaskan pemenang Emperor Cup 2021 Jepun itu, skuad Harimau Selatan akan melangkah ke peringkat suku akhir tiga hari berikutnya pada 22 Ogos dan jika peringkat separuh akhir menanti pada 25 Ogos.

Atas alasan inilah JDT membawa skuad yang besar ke Jepun dengan 35 pemain yang bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa. Ia juga menunjukkan JDT sudah melakukan persediaan awal sekiranya terpaksa mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari.

Kesemua 35 pemain JDT ke Jepun.

JDT juga membawa kesemua lapan pemain import mereka meskipun peraturan hanya membenarkan 3+1 pemain asing diturunkan pada satu-satu perlawanan. Ini juga adalah sebahagian daripada persediaan awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh terjadi di Jepun nanti.

Kesemua 35 pemain ini pula sudah diberikan minit permainan yang mencukupi apabila mereka diberikan peluang bermain bersama skuad senior ataupun JDT II yang bertanding di Liga Perdana.

Apa yang menarik, JDT dilihat turut membawa bersama Jordi Amat, pemain warisan Indonesia yang baharu serta pemain muda yang meningkat naik, K.Daryl Sham dan penyerang kebangsaan, Guilherme De Paula bersama-sama pasukan.

Perancangan ini pastinya sudah dilakukan dari awal dan barisan kejurulatihan mungkin sudah mempunyai skuad A, B mahupun C yang akan digunakan bergantung kepada lawan dan situasi yang akan berlaku.

Mereka juga sudah memulakan latihan sejurus tiba di Tokyo bagi mengadaptasi keadaan cuaca yang panas dan keadaan padang serta memastikan semuanya berada dalam keadaan terbaik sebelum perlawanan.

Inilah masanya buat JDT untuk menempa sejarah baharu buat kelab dan negara di kejohanan kelab terbesar Asia ini. Mereka sudah membuktikan kemampuan mereka semasa peringkat kumpulan dan kini sekali lagi akan mencuri tumpuan peminat bola sepak Asia dalam peringkat kalah mati.