KETUA Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan gol pembukaan di babak kedua meletakkan tekanan kepada pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang gagal bangkit sehingga tamat permainan.

Beliau berkata, para pemain turut terlibat dan mengambil peranan ikuti arahan yang telah dirancang.

Dalam aksi di Stadium Likas itu, Sabah FC menang bergaya 4-0 ke atas pelawat dan paling manis ledakan hatrik Amri Yahyah merupakan catatan rekod pemain tertua di Liga Super.

“Jika dilihat separuh masa pertama kita cipta banyak peluang dan tak membenarkan KDA FC bermain seperti selalu yang mereka biasa lakukan. Satu disiplin baik ditunjukkan semua pemain.

“Pada separuh masa pertama kita tak berjaya jaringkan gol tetapi  pemain terus kekal momentum di separuh kedua. Gol pertama beri tekanan untuk Kedah dan jaringan kedua sudah tentu tutup peluang mereka kembali semula,” ujarnya dalam sidang media selepas perlawanan pada Ahad.

Aksi perlawanan Sabah FC dan Kedah Darul Aman FC pada Ahad. Foto: Sabah FC

Kim Swee juga memuji penampilan Amri Yahyah yang berusia 41 tahun sehingga mampu meledak hatrik yang pertama sepanjang karier.

“Amri kita tahu pemain cukup berpengalaman. Saya percaya rekod beliau pemain tertua menjaringkan hatrik akan bertahan begitu lama dan tidak mampu dibuat pemain lain.

“Amri tahu beliau harus berada dengan keyakinan dan kehadirannya memberi moral pemain muda Sabah untuk memperbaiki permainan,” katanya lagi

Sementara itu, jurulatih KDA FC, Aidil Shahrin Sahak mengucapkan tahniah kepada kejayaan Sabah FC dan akui pemain pertahanan melepaskan dua gol mudah.

Jelas faktor ketiadaan Ifwat Akmal yang diganti penjaga gawang, Ilham Amirullah menyebabkan pintu gol pasukannya mudah dibolosi pemain tuan rumah di babak kedua.