PENYERANG Liverpool FC, Mohamed Salah Hamed Mahrous Ghaly telah mendermakan 3 juta Dolar Mesir untuk pembinaan semula gereja yang musnah akibat kebakaran.

Insiden memilukan tersebut telah mengorbankan 41 orang dengan melibatkan 18 orang kanak-kanak. Kejadian tersebut dikatakan berpunca dari litar pintas yang berlaku di unit pendingin hawa di gereja tersebut.

Pemain kelahiran Nagrig, Mesir itu tersenarai dalam ranking kelapan ‘ Manusia Paling Pemurah’ di United Kingdom, dengan jumlah pendermaan menghampiri 3 juta Dolar Mesir.

Salah berpegang teguh dengan ajaran Islam, (gambar) sedang berdoa.

Ini bukanlah kali pertama bintang Mesir itu melakukan amal kebajikan kerana Salah turut membelanjakan sejumlah 2. 4 juta Dolar Mesir kepada Institut Kanser Nasional di Cairo yang musnah ekoran letupan kereta tiga tahun yang lalu.

Dia juga dilaporkan telah membeli peralatan gimnasium, membayar untuk pasangan kekasih mendirikan majlis perkahwinan, membelanjakan wang untuk membeli Trofi Bola Sepak Belia di Nagrig dan mendermakan 26,612 Dolar Mesir kepada Persatuan Pemain Veteran Mesir yang terkesan akibat masalah kewangan setelah bersara.

Untuk rekod, bekas sayap Chelsea itu berada di ranking kedua penjaring terbanyak untuk pasukan Mesir dengan 47 gol, 11 gol di belakang legenda Hossam Hassan, dengan 85 penampilan sepanjang kariernya bersama skuad utama Mesir.

Pemain berusia 30 tahun itu mula menyinar setelah berhijrah ke Liverpool pada 2017 apabila berjaya meledak 158 gol dalam 257 perlawanan.

Dia juga berjaya mengecapi kemanisan bersama kelab England itu apabila The Reds pernah dinobatkan juara Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara, Piala FA dan Piala Carabao.